PELAJAR MELAKA KE MESIR TERIMA BANTUAN SARAAN RM28,000, JORDAN RM40,000

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PENGKALAN BATU 4 September – Anak Melaka yang melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam di Timur Tengah menerima bantuan saraan sehingga RM40,000 sepanjang tempoh empat tahun pengajian menerusi Skim Dermasiswa Pengajian Islam (DPI).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi skim kendalian Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), setiap pelajar ke Mesir menerima bantuan saraan RM28,000, manakala penuntut ke Jordan menerima RM40,000 bagi tempoh empat tahun.

“Menerusi skim ini, bantuan saraan adalah berjumlah RM7,000 setahun atau bersamaan RM28,000 bagi empat tahun kepada setiap pelajar ke Mesir, manakala penuntut ke Jordan pula menerima RM40,000 untuk tempoh empat tahun pengajian, di mana ia diberikan secara percuma.

“Untuk tujuan itu, MAIM melalui TAPEM memperuntukkan RM496,000 setiap tahun bagi membiayai keperluan sara hidup pelajar di bawah skim berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pelepasan Pelajar Timur Tengah Mesir dan Jordan Negeri Melaka Tahun 2026 di Lobi Pusat Islam Melaka, Bukit Palah, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Ehsan Mohd Hosni @ Mohd Kusni; Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad; Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis serta lain-lain kenamaan.

Ketua Menteri berkata, komitmen Kerajaan Negeri tidak terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya kini dalam perancangan untuk membuka laluan tajaan baharu buat anak Melaka yang menimba ilmu di Indonesia, melalui dSekretariat Pengurusan Luar Negara Negeri Melaka (S-Plan).

“Justeru, inisiatif ini membolehkan kerajaan negeri membina pendekatan yang lebih inklusif dalam menyantuni golongan sasar, khususnya para pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara,” katanya.

Pada tahun ini, seramai 35 anak Melaka bakal melanjutkan pengajian ke Timur Tengah, membabitkan 32 pelajar ke Mesir dan tiga lagi ke Jordan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post MAHA 2026: PROJEK NANAS MELAKA SASAR PULANGAN RM25.53 JUTA
Next post MAHA 2026: MELAKA MAHU BELACAN, CENCALUK TERUS BERSINAR