MELAKA GEOPARK BERPOTENSI TARIK PELANCONG EROPAH, AMERIKA

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 September – Melaka Geopark sekiranya berjaya direalisasikan berpotensi membuka pasaran pelancongan baharu dengan menarik lebih ramai pelancong dari Eropah yang mempunyai minat terhadap alam semula jadi dan geologi.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad berkata, kewujudan 29 geotapak yang dikenal pasti di seluruh negeri mampu menjadi produk geopelancongan baharu sekiranya dimanfaatkan secara menyeluruh bersama komuniti setempat.

Menurut beliau, geopelancongan mempunyai kelompok peminat tersendiri, khususnya dari benua Eropah dan Amerika yang gemar meneroka pengalaman berkaitan alam semula jadi serta lokasi yang mempunyai keunikan tersendiri.

“Geopark ini mempunyai nilai pendidikan yang tinggi kerana setiap geotapak berpotensi diketengahkan sebagai medium untuk memahami kaitan antara alam semula jadi, sejarah dan kehidupan masyarakat.

“Ia mempunyai kelompok peminatnya tersendiri dan kebanyakannya datang dari Eropah dan Amerika kerana mereka sukakan alam semula jadi serta perkara yang unik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Aspiring Melaka Geopark Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Melaka yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.

Nasrul berkata, usaha menarik pelancong berkenaan memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, penggiat industri dan komuniti setempat yang menjadi antara tunjang utama dalam pembangunan serta promosi geotapak.

Katanya, penglibatan komuniti penting bukan sahaja untuk memelihara geotapak, malah membantu memperkenalkan keunikan kawasan masing-masing kepada pelancong.

“Sebagai contoh, kalau kita pergi ke Bukit Batu Lebah, satu hari nanti sekiranya kita mendapat pengiktirafan Geopark Kebangsaan, komuniti di sekitar kawasan itu boleh bersama-sama memporomosikan dan menjadikan Bukit Batu Lebah sebagai satu tarikan pelancongan.

“Mereka bukan sekadar menjadi masyarakat yang tinggal berhampiran geotapak, tetapi boleh turut terlibat sebagai pemandu pelancong atau geoguide kepada kawasan mereka sendiri,” katanya.

Menurutnya, pendekatan berkenaan boleh dicontohi daripada beberapa negeri yang telah mempunyai geopark, termasuk Lenggong, Perak apabila masyarakat setempat turut memainkan peranan sebagai geoguide kepada pelancong.

“Jadi, perkara inilah yang kita mahu wujudkan di Melaka. Penglibatan industri, JPKK, kampung dan komuniti amat penting supaya mereka turut merasai manfaat apabila kawasan mereka mempunyai geotapak yang boleh diangkat sebagai produk pelancongan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

905
Kongsi :
Previous post WRUR MEDAN RAIKAN SEMUA WARGA DUN TABOH NANING
Next post MELAKA MAHU JADI NEGERI PERTAMA CADANG GAJI ASAS LUMAYAN