MELAKA MAHU JADI NEGERI PERTAMA CADANG GAJI ASAS LUMAYAN

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 5 September – Melaka mahu menjadi negeri pertama memperkenalkan kadar gaji asas yang lebih lumayan bagi memberi ruang kepada anak muda membina kehidupan dan masa depan yang lebih baik di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan kadar gaji asas antara RM2,500 hingga RM2,800 sedang dinilai dari pelbagai sudut sebelum dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan untuk pertimbangan.

“Melaka mahu menjadi negeri pertama yang menetapkan kadar gaji asas yang lumayan. Mungkin RM2,500 atau RM2,800, kita cuba melihat segala sudut dan penilaian ini.

“Kita akan beri cadangan ini kepada Kerajaan Persekutuan supaya anak-anak muda kita mempunyai pendapatan yang lebih baik untuk membina masa depan mereka di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi Townhall Anak Muda Negeri Melaka sempena Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Penyelaras Karnival Anak Muda Negeri Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, usaha meningkatkan pendapatan anak muda perlu disokong dengan penyediaan ruang dan peluang yang membolehkan golongan berkenaan meneroka pelbagai laluan kerjaya serta merancang masa depan dengan lebih yakin.

Katanya, menerusi Karnival Anak Muda Negeri Melaka, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai program termasuk karnival kerjaya, bengkel kemahiran dan sesi libat urus bagi membantu anak muda mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai hala tuju masa depan mereka.

“Kita juga menyediakan ruang menerusi kursus perkahwinan percuma dan himpunan ibu muda bagi membolehkan kesemua aset negeri ini dapat membina kehidupan dan kerjaya yang lebih baik.

“Bagi Kerajaan Negeri anak muda hari ini ini perlu dipandu supaya mereka dapat melihat bahawa Melaka menyediakan ruang dan masa depan yang cerah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

716
Kongsi :
Previous post MELAKA GEOPARK BERPOTENSI TARIK PELANCONG EROPAH, AMERIKA
Next post MELAKA MAHU SEDIA PELUANG IBU MUDA KEMBALI BEKERJA