S-PLAN JADI ‘PAYUNG’ ANAK MELAKA TUNTUT ILMU DI LUAR NEGARA

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

PENGKALAN BATU 4 September – Sekretariat Pengurusan Luar Negara Negeri Melaka (S-Plan) terus menjadi platform strategik Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan kelancaran urusan pengajian anak negeri yang melanjutkan pengajian di luar negara sentiasa terbela.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penubuhan semula S-Plan yang kini memasuki tahun ketiga itu bukan sahaja menguruskan pemilihan pelajar berkelayakan, malah turut merangkumi aspek pembiayaan, pengurusan dokumen serta kebajikan pelajar sepanjang berada di luar negara.

“Tujuan S-Plan ini ditubuhkan semula adalah bagi menguruskan pemilihan pelajar yang berkelayakan, iaitu mereka yang mendapat keputusan Mumtaz dan Jayyid Jiddan pada peringkat SPM, STAM serta Diploma dalam bidang pengajian Islam.

“Bukan itu sahaja, S-Plan ini juga mempromosi dan membiayai pengajian pelajar melalui Skim Dermasiswa Pengajian Islam Kerajaan Negeri Melaka, menguruskan proses dokumen permohonan serta membantu dan menjaga kebajikan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pelepasan Pelajar Timur Tengah Mesir dan Jordan Negeri Melaka Tahun 2026 di Lobi Pusat Islam Melaka, Bukit Palah, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Ehsan Mohd Hosni @ Mohd Kusni; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad; Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis serta lain-lain kenamaan.

Ketua Menteri berkata, S-Plan diterajui bersama enam agensi utama melibatkan MAIM, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Universiti Islam Melaka (UNIMEL) serta Kolej Al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA).

Menurutnya, kerjasama pelbagai agensi itu membolehkan pengurusan pelajar dilakukan secara lebih tersusun, selain memastikan aspek kebajikan dan keselamatan mereka mendapat perhatian sewajarnya.

“Sehubungan itu, inisiatif seumpama ini merupakan salah satu platform strategik yang diwujudkan khusus demi memelihara hal ehwal kebajikan, keselamatan serta kelancaran urusan pengajian anak-anak Melaka di perantauan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, S-Plan turut memperkukuh agenda Kerajaan Negeri dalam memacu pendidikan berkualiti menerusi pelbagai program berfokus.

Katanya, antara program dilaksanakan termasuk Majlis Persediaan Pelajar Timur Tengah, temu duga penerima Dermasiswa TAPEM, Majlis KARISMA di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta penyelarasan dokumen pengajian bersama pihak KPT.

“Segala usaha ini sejajar dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang dicetuskan Kerajaan Negeri Melaka, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri yang sentiasa cakna dalam memperkasa kebajikan, kecemerlangan serta pembangunan modal insan anak-anak Melaka,” katanya.

Ab Rauf berkata, menerusi inisiatif S-Plan, Kerajaan Negeri turut menyediakan bantuan secara ‘one-off’ sebanyak RM3,500 kepada setiap pelajar yang melanjutkan pengajian ke Mesir, manakala RM4,000 bagi pelajar ke Jordan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1008
Kongsi :
Previous post MAHA 2026: MELAKA MAHU BELACAN, CENCALUK TERUS BERSINAR