
MAHA 2026: MELAKA MAHU BELACAN, CENCALUK TERUS BERSINAR
SERDANG 4 September – Kerajaan Negeri mahu warisan dan produk ikonik negeri seperti belacan, cencaluk, makanan tradisional serta kraftangan diterjemahkan kepada sumber ekonomi yang mampu menjana peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, produk warisan tidak seharusnya hanya dilihat sebagai identiti negeri, sebaliknya perlu dikembangkan menjadi produk bernilai komersial yang mampu menembusi pasaran lebih luas.
“Kita mahu warisan dan produk ikonik Melaka seperti belacan, cencaluk, makanan tradisional dan kraftangan bukan sekadar dikenali sebagai identiti negeri.
“Warisan mesti diterjemahkan kepada nilai ekonomi, peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat,” katanya selepas merasmikan Pavilion Melaka sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS Serdang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak.
Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri mahu produk keluaran Melaka bukan sahaja mendapat tempat dalam pasaran tempatan, malah mampu berkembang ke seluruh negara dan seterusnya menembusi pasaran antarabangsa.
Oleh sebab itu, ujar beliau, pendekatan tersebut diterapkan menerusi konsep Pavilion Melaka di MAHA 2026 yang mengetengahkan produk ikonik negeri sebagai sebahagian daripada identiti dan pengalaman pengunjung.
“Pendekatan ini menjadikan Pavilion Melaka bukan sekadar ruang pameran, tetapi sebuah ruang pengalaman yang membawa pengunjung mengenali Melaka melalui rasa, budaya, kreativiti dan hasil tangan usahawan tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, gimik ‘Loncatan Paradigma Pertanian’ yang diketengahkan di Pavilion Melaka melambangkan peralihan daripada kekuatan tradisi kepada pendekatan pertanian yang lebih moden, inovatif dan berdaya saing.
Menurutnya, transformasi berkenaan penting bagi memastikan warisan serta hasil pertanian tempatan terus relevan dengan kehendak pasaran semasa tanpa menghilangkan nilai dan identiti asalnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


