RM41.8 JUTA LAKSANA 176 PROJEK PEMBANGUNAN DI DUN TABOH NANING

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

TABOH NANING 5 September – Sebanyak RM41.8 juta disalurkan bagi melaksanakan sebanyak 176 projek pembangunan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, peruntukan itu termasuk Projek Menaik Taraf Jalan dari Bulatan Tol Simpang Ampat ke LebuhAMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) bernilai RM17.53 juta yang kini sedang dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna laluan berkenaan.

Malah Ketua Menteri turut memantau perkembangan projek berkenaan yang dijadualkan siap pada 2028 nanti.

“Apabila sudah siap, manfaatnya bukan sahaja akan dirasai oleh penduduk DUN Taboh Naning, tetapi juga oleh ribuan pengguna yang keluar masuk melalui kawasan ini setiap hari.

“Kita tidak pernah melupakan golongan kurang bernasib baik, atas komitmen menjaga kebajikan rakyat sebanyak RM9.46 juta disalurkan kepada hampir 2,000 penerima di DUN Taboh Naning,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Taboh Naning di Padang Bola Sepak Taboh Naning, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Yang turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Adun Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco; Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat DUN Taboh Naning.

Ab Rauf yang juga Adun Tanjung Bidara berkata dalam masa yang sama Kerajaan Negeri terus mengimarahkan syiar Islam menerusi pembinaan Masjid Ar-Rahman, Rantau Panjang, untuk manfaat dan keselesaan komuniti setempat.

Sementara itu dalam sektor pendidikan pula, Projek Pembinaan Bangunan Tambahan tujuh Bilik Darjah, 2 Bengkel Kemahiran serta kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Naning sedang dilaksanakan dengan kos keseluruhan sebanyak RM11 juta.

“Jika nak saya senaraikan satu persatu setiap projek bantuan dan inisiatif yang telah kita laksanakan di bawah pentadbiran ini memang terlalu banyak.

“Tetapi saya sebut semua ini bukan semata-mata untuk berbangga, apatah lagi mengatakan bahawa segala-galanya sudah sempurna. Masih ada ruang yang perlu kita baiki…Masih ada yang perlu kita percepatkan dan masih ada keperluan rakyat yang mesti kita perjuangkan.

“Cuma saya mahu keluarga besar Taboh Naning melihat satu perkara dengan jelas sepanjang amanah ini diberikan, Kerajaan yang mentadbir tidak berhenti bekerja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

449
Kongsi :
Previous post ‘BUDAK MELAKA’ CETUS GELOMBANG BAHARU ANAK MUDA
Next post ‘KITA BUKAN HANYA PANDAI CATAT MASALAH, TETAPI PANDAI CARI JALAN KELUAR’ – AB RAUF