‘BUDAK MELAKA’ CETUS GELOMBANG BAHARU ANAK MUDA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 5 September – Lagu ‘Budak Melaka’ dilihat mampu mencetuskan gelombang baharu dalam kalangan anak muda negeri ini, khususnya sebagai wadah menyemarakkan semangat generasi muda bersama kepimpinan negeri dalam membentuk masa depan negeri bersejarah ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, lagu berkenaan bukanlah lagu rasmi negeri, sebaliknya menjadi pelengkap kepada agenda dan program pembangunan anak muda yang sedang digerakkan Kerajaan Negeri.

“Lagu ini (Budak Melaka) bukan lagu rasmi negeri. Lagu rasmi tetap Senandung Anak Melaka.

“Lagu ini menjadi pelengkap kepada Karnival Anak Muda Negeri Melaka, selain ia juga mencetus gelombang untuk anak muda bersama dengan kepimpinan dalam membentuk kemajuan Melaka,” katanya kepada pemberita selepas meluncurkan Majlis Perasmian Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Penyelaras Karnival Anak Muda Negeri Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Menurut Ab Rauf, kewujudan lagu ‘Budak Melaka’ menjadi salah satu medium untuk menyatukan semangat anak muda menerusi pendekatan yang lebih dekat dengan jiwa dan budaya generasi berkenaan.

Katanya, ia selari dengan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh agenda anak muda melalui pelbagai inisiatif meliputi pendidikan, TVET, keusahawanan, sukan, pembangunan bakat dan peluang pekerjaan.

Sebelum ini, Ab Rauf memaklumkan lebih 100 inisiatif telah digerakkan Kerajaan Negeri dalam tempoh tiga tahun bagi memperkasa pembangunan anak muda Melaka.

Beliau berkata, golongan muda merupakan ‘benih masa depan’ negeri yang perlu disemai dengan ilmu, kemahiran, peluang dan keyakinan bagi memastikan Melaka terus memiliki generasi pelapis yang mampu membawa negeri ke tahap lebih tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1189
Kongsi :
Previous post LEBIH 100 INISIATIF PERKASA ANAK MUDA MELAKA
Next post RM41.8 JUTA LAKSANA 176 PROJEK PEMBANGUNAN DI DUN TABOH NANING