LEBIH 100 INISIATIF PERKASA ANAK MUDA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 5 September – Lebih 100 inisiatif telah digerakkan Kerajaan Negeri sepanjang tiga tahun lalu bagi memperkasa pembangunan anak muda menerusi pengukuhan pendidikan dan TVET, keusahawanan, sukan, pembangunan bakat serta peluasan peluang pekerjaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, agenda pembangunan anak muda sentiasa menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri sepanjang tempoh beliau bersama barisan kepimpinan negeri memikul amanah mentadbir Melaka.

“Atas dasar itulah, lebih 100 inisiatif telah digerakkan khusus untuk pembangunan anak muda negeri ini.

“”Kita perkasa TVET dan pendidikan, kita buka ruang keusahawanan, sukan dan pembangunan bakat, serta kita perluas peluang pekerjaan supaya saudara-saudari mempunyai lebih banyak ruang untuk membina masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Penyelaras Karnival Anak Muda Negeri Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Menurut Ab Rauf, pelaburan terhadap pembangunan anak muda amat penting bagi memastikan Melaka mempunyai generasi yang berilmu, berkemahiran dan berkeyakinan untuk menerajui negeri pada masa hadapan.

“Kerana bagi saya, anak muda umpama benih masa depan Negeri Melaka. Apa yang kita semai pada saudara-saudari hari ini melalui ilmu, kemahiran, peluang dan keyakinan, itulah yang akan kita tuai sebagai kekuatan Melaka 10, 20 malah 30 tahun akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

912
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA 8 ‘RIDER PITSTOP’, TAMBAH 4 LOKASI E-HAILING