MELAKA SEDIA 8 ‘RIDER PITSTOP’, TAMBAH 4 LOKASI E-HAILING

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 4 September – Kerajaan Negeri Melaka terus memperkasa kebajikan komuniti P-Hailing dan e-hailing menerusi penyediaan lapan pusat rehat atau ‘Rider Pitstop’ serta penambahan empat lokasi pengambilan penumpang di kawasan strategik negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penyediaan kemudahan berkenaan membuktikan usaha menjaga kebajikan komuniti ekonomi gig bukan perkara baharu, sebaliknya dilaksanakan kerajaan negeri secara berterusan.

“Kerajaan Negeri telah pun bergerak menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk komuniti ini, antaranya menyediakan sebanyak lapan pusat istirahat atau Rider Pitstop di lokasi-lokasi strategik, supaya warga P-Hailing mempunyai tempat yang lebih selesa dan selamat untuk berhenti berehat.

“Begitu juga bagi komuniti e-hailing. Selain empat lokasi pengambilan penumpang yang sedia ada, pada tahun ini Kerajaan Negeri telah menambah empat lagi lokasi baharu, antaranya di Melaka Sentral, Pantai Klebang, Hospital Melaka dan AEON Bandaraya Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Penyelaras Karnival Anak Muda Negeri Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Ketua Menteri berkata, sebelum ini beliau sendiri berpeluang turun bersama warga P-Hailing bagi memahami rutin dan cabaran yang mereka hadapi ketika mencari rezeki di jalan raya.

Menurutnya, pengalaman tersebut memberi gambaran lebih jelas mengenai keperluan sebenar komuniti berkenaan, sekali gus mendorong kepimpinan negeri untuk terus mencari ruang bagi meringankan beban mereka.

“Walaupun sekejap, pengalaman itu cukup untuk saya memahami bahawa di sebalik setiap penghantaran itu ada penat lelah, ada risiko di jalan raya dan ada keluarga yang menanti rezeki dibawa pulang.

“Kemudahan kita dah sediakan, ruang kita dah buka. Tetapi selepas saya turun sendiri dan dengar suara para rider, saya tahu masih ada beban yang perlu kita ringankan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1014
Kongsi :
Previous post MELAKA SUBURKAN SEMANGAT ANAK MUDA
Next post LEBIH 100 INISIATIF PERKASA ANAK MUDA MELAKA