MELAKA SUBURKAN SEMANGAT ANAK MUDA

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 5 September – Semangat Anak Muda Melaka terus disuburkan menerusi Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 yang menjadi wadah menghimpunkan generasi muda untuk berkarya, mencuba, meneroka peluang dan melangkah lebih jauh.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, karnival berkenaan bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya platform untuk membina keyakinan serta menyemarakkan semangat anak muda dalam mengejar impian dan membina masa depan.

“Semangat inilah yang mahu kita terus suburkan. Sebab itu, Kerajaan Negeri bawakan Karnival Anak Muda sebagai ruang untuk anak-anak muda berani berkarya, berani mencuba, berani meneroka peluang dan berani melangkah lebih jauh.

“Yang lebih penting, inilah peluang untuk saya bersama barisan kepimpinan negeri turun lebih dekat dengan anak-anak muda, mendengar sendiri suara dan cabaran, sekali gus menyelami realiti kehidupan generasi muda hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, karnival selama tiga hari itu menghimpunkan hampir 30 pengisian meliputi pelbagai bidang termasuk permotoran dan automotif, pendidikan dan kerjaya, TVET, sukan, e-Sukan, keusahawanan, rekreasi, hiburan serta ruang interaksi.

Katanya, pelbagai hadiah menarik turut disediakan bagi memeriahkan karnival berkenaan, termasuk 20,000 helai T-shirt khas, 2,000 unit helmet eksklusif, 38 buah motosikal serta sebuah motosikal RXZ sebagai hadiah utama.

“Gunakanlah tiga hari ini sebaik-baiknya. Sertai, terokai dan manfaatkan setiap peluang yang kita sediakan, agar karnival ini menjadi titik mula kepada sesuatu yang lebih besar dalam perjalanan hidup saudara-saudari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

409
Kongsi :
Previous post MELAKA UMUM ‘MANIS-MANIS’, TIGA IKHTIAR BANTU ‘ABANG RIDER’