MELAKA UMUM ‘MANIS-MANIS’, TIGA IKHTIAR BANTU ‘ABANG RIDER’

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 5 September – Bagi meringankan beban komuniti P-Hailing yang menjadi antara tonggak ekonomi penting Negeri Melaka, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengumumkan tiga ikhtiar khusus untuk membantu komuniti berkenaan.

Ab Rauf berkata, tiga ikhtiar itu adalah subsidi dan diskaun servis motosikal, penyediaan sekurang-kurangnya sebuah bengkel khas berdiskaun di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) serta penelitian caruman perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Jelas beliau, insentif itu dirangka bagi membantu mengurangkan beban kos penyelenggaraan, selain memperkukuh aspek keselamatan dan kebajikan warga P-Hailing untuk jangka panjang.

“Pertama, Kerajaan Negeri akan menyediakan subsidi dan diskaun servis motosikal bagi membantu mengurangkan kos penyelenggaraan.

“Kedua, kita akan usahakan sekurang-kurangnya sebuah bengkel khas berdiskaun di setiap DUN, supaya kemudahan ini lebih dekat dan mudah dicapai.

“Ketiga, Kerajaan Negeri juga akan meneliti caruman perlindungan PERKESO bagi memperkukuh aspek keselamatan dan kebajikan warga P-Hailing untuk jangka panjang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Penyelaras Karnival Anak Muda Negeri Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, perhatian terhadap komuniti P-Hailing turut diterjemahkan menerusi pemberian 10 buah motosikal kepada warga P-Hailing melalui cabutan bertuah sempena Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026.

Tidak cukup dengan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM300,000 untuk disalurkan kepada 3,000 warga P-Hailing yang hadir sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka.

“Saya tahu, apa yang kita usahakan ini mungkin belum mampu menjawab segala cabaran yang saudara-saudari hadapi setiap hari. Tetapi percayalah, di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat, setiap suara, kebajikan dan masa depan warga P-Hailing sentiasa berada dalam perhatian Kerajaan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

330
Kongsi :
Previous post TOK RAUF HADIAHKAN 20 ‘RIDER’ OKU HELMET EDISI TERHAD
Next post MELAKA SUBURKAN SEMANGAT ANAK MUDA