‘KITA BUKAN HANYA PANDAI CATAT MASALAH, TETAPI PANDAI CARI JALAN KELUAR’ – AB RAUF

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

TABOH NANING 5 September – Pendekatan turun padang untuk menyantuni dan mendengar denyut nadi rakyat menjadi teras pentadbiran Kerajaan Negeri diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh

Ketua Menteri berkata, pendekatan itu bukan hanya mengurangkan kerenah birokrasi, tetapi lebih penting Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mendapat maklumat mengenai permasalahan rakyat yang selama ini tidak sampai ke pengetahuan mereka.

Katanya, beliau tidak mahu kerajaan hanya pandai mencatat masalah sebaliknya mesti menjadi kerajaan yang tahu mencari jalan keluar.

“Saya nampak semangat inilah yang dibawa oleh Adun Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dalam membawa 1,001 isu dan keperluan lebih 17,000 warga Taboh Naning.

“Mana nak cari YB (Yang Berhormat) yang sanggup turun sendiri membetulkan lampu di rumah rakyat? Inilah dia, tuan-tuan dan puan-puan YB Acik Zul kita. Mungkin bagi sesetengah pihak, membetulkan lampu itu kelihatan seperti perkara kecil.

“Tetapi bagi keluarga yang dibantu, nilainya jauh lebih besar daripada sebuah lampu yang kembali menyala. Paling penting, melalui usaha ini membuatkan rakyat yakin bahawa adanya wakil rakyat yang sanggup datang dan membantu sedaya upaya di saat memerlukan,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Taboh Naning di Padang Bola Sepak Taboh Naning, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Yang turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Adun Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco; Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat DUN Taboh Naning.

Menurutnya, semua itu diterjemahkan menerusi Program WRUR yang dilaksanakan dari satu DUN ke satu DUN, dari kampung ke Taman perumahan, dari halaman rumah rakyat hinggalah ke meja jabatan dan agensi.

“Kita bawa pentadbiran keluar daripada Pejabat dan pecahkan tembok birokrasi memisahkan kerajaan dengan realiti kehidupan rakyat.

“Bayangkan, jika tiada pendekatan seperti WRUR ini, mungkin ada antara kita yang tidak pernah tahu bahawa masih ada keluarga yang berteduh di bawah atap bocor, ada yang hidup serba kekurangan dan ada yang sekian lama menunggu agar kesusahan mereka mendapat perhatian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

468
Kongsi :
Previous post RM41.8 JUTA LAKSANA 176 PROJEK PEMBANGUNAN DI DUN TABOH NANING
Next post WRUR MELABUHKAN TIRAI, TETAPI KHIDMAT KEPADA RAKYAT TIDAK BERNOKTAH