WRUR MELABUHKAN TIRAI, TETAPI KHIDMAT KEPADA RAKYAT TIDAK BERNOKTAH

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

TABOH NANING 5 September – Bermula dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) kini memasuki edisi ke-26 di DUN Taboh Naning.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata,  kini hanya berbaki dua DUN sahaja lagi sebelum lengkap perjalanan WRUR merentasi kesemua 28 DUN di Negeri Melaka.

“Di Taboh Naning sahaja, saya dimaklumkan hampir 60 program berjaya digerakkan
dengan pelbagai pengisian yang menyentuh secara langsung kehidupan dan keperluan
masyarakat setempat.

“Sepanjang tiga tahun ini kita usahakan untuk membina sebuah pentadbiran yang bukan hanya teguh berdiri, tetapi cukup kukuh untuk menjadi tempat rakyat bersandar dan berupaya menjawab harapan diletakkan.

“Sebab itu, pesan orang-orang dahulu jikalau tuan hendak berpaut, berpautlah pada pohon yang akarnya benar-benar kuat mencengkam bumi supaya walau ketika ribut datang dan walau apa jua cabaran yang melanda, masih mampu berdiri teguh dan memberi teduh kepada yang berlindung di bawahnya,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Taboh Naning di Padang Bola Sepak Taboh Naning, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Yang turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Adun Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco; Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat DUN Taboh Naning.

Terdahulu pada majlis sama berlangsung penyerahan bendera WRUR daripada Zulkiflee kepada Hameed sebagai simbolik pelaksanaan WRUR di DUN Ayer Limau dari 6 hingga 12 September.

Ab Rauf menegaskan berakhirnya WRUR di setiap DUN tidak bermakna pintu kerajaan tertutup apatah lagi khidmat kepada rakyat bernoktah.

“WRUR mungkin selesai di Taboh Naning, tetapi tanggungjawab kita kepada rakyat tidak pernah bernoktah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

252
Kongsi :
Previous post ‘KITA BUKAN HANYA PANDAI CATAT MASALAH, TETAPI PANDAI CARI JALAN KELUAR’ – AB RAUF
Next post ‘RIDER’ P-HAILING BANGGA DAPAT KETUA MENTERI SEPERTI TOK RAUF