
SUKARELAWAN BSAT ‘DUTA KECIL’ MAIM SANTUNI GOLONGAN MEMERLUKAN
AYER KEROH 5 September – Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT) Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berpotensi menjadi ‘Duta Kecil MAIM’ dalam memperluas gerak kerja kebajikan dan menyantuni golongan memerlukan di peringkat komuniti.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, peranan BSAT bukan sekadar membantu dalam aspek kebajikan, malah merangkumi bidang pendidikan, kerjaya, perubatan dan kesihatan mengikut keperluan masyarakat.
Katanya, sehingga kini BSAT mempunyai 377 ahli terdiri daripada 254 wanita atau 67 peratus dan 123 lelaki atau 33 peratus yang digerakkan menerusi tiga kluster utama.
“BSAT digerakkan menerusi tiga kluster utama iaitu Kluster Khidmat Sosial dan Kebajikan, Kluster Pendidikan dan Kerjaya serta Kluster Perubatan dan Kesihatan.
“Pembahagian ini membolehkan gerak kerja sukarelawan disusun dengan lebih terarah mengikut keperluan masyarakat dan kemahiran ahli,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Watikah Pelantikan Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT) dan Program Pemerkasaan Sukarelawan Penjagaan Spiritual Pesakit di Universiti Multimedia (MMU) Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad dan Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, status BSAT sebagai ‘Duta Kecil MAIM’ membawa tanggungjawab besar kerana sukarelawan berdepan secara langsung dengan golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan.
Katanya, kelompok yang disantuni termasuk asnaf, pesakit, warga emas, keluarga dalam kesusahan serta individu yang memerlukan bantuan segera.
“Menjadi sukarelawan BSAT membawa tanggungjawab tersendiri kerana sebahagian besar golongan yang kita dekati dan santuni ialah asnaf, pesakit, warga emas, keluarga yang berada dalam kesusahan serta mereka yang memerlukan sokongan segera.
“Justeru, kita mahu sukarelawan bukan sahaja membantu dari sudut fizikal, tetapi turut menjadi penghubung yang membawa mesej kebajikan MAIM kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, penyertaan generasi muda khususnya golongan belia perlu dipertingkatkan bagi memastikan gerakan kesukarelawanan berkenaan terus berkembang dan mempunyai kesinambungan.
“Kita mahu lebih ramai generasi muda tampil menyumbang tenaga kerana mereka boleh menjadi sebahagian daripada penggerak komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, Rahmad berkata, sukarelawan yang terlibat dalam penjagaan spiritual pesakit perlu mempunyai keupayaan untuk mendengar, memberikan kata-kata yang menenangkan serta membantu pesakit mengekalkan kekuatan jiwa dan ibadah mengikut kemampuan.
Katanya, pendekatan itu perlu dilaksanakan dengan penuh empati dengan menghormati keadaan emosi, maruah serta keperluan setiap pesakit.
“Kadangkala, kehadiran seorang sukarelawan yang sabar mendengar juga merupakan satu bentuk bantuan yang amat besar nilainya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


