IBU MUDA MELAKA LUAR BIASA!

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 5 September – Seramai 300 ibu muda dari seluruh Negeri Melaka berhimpun menerusi satu program khas bagi memperkukuh institusi keluarga selain memperkasa peranan wanita dalam membentuk keluarga bahagia.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, Program Himpunan Ibu Muda ‘Kita Ibu Muda, Kita Luar Biasa’ itu memberi ruang kepada peserta mendapatkan ilmu berkaitan kehidupan berkeluarga, perkahwinan serta cabaran dalam rumah tangga.

Katanya, program berkenaan turut menjadi platform kepada ibu muda untuk berkongsi pengalaman dan membina jaringan sesama mereka tanpa mengira latar belakang dan status.

“Menerusi program ini, kita menyediakan dua slot untuk para peserta iaitu pertama berkaitan keluarga bahagia dan kedua ceramah daripada peguam mengenai kehidupan, perkahwinan dan perceraian,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan yang merupakan sebahagian daripada pengisian Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Menurut Kalsom, peserta program tersebut merupakan ibu muda berusia 40 tahun ke bawah, di mana program itu membuka ruang interaksi bukan sahaja membabitkan pakar yang terlibat dan pemimpin negeri, bahkan sesama peserta bagi berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi.

Jelas beliau, antara perkara menarik dalam himpunan berkenaan ialah penyertaan seorang ibu berusia 36 tahun yang mempunyai 10 anak yang telah berkongsi pelbagai kisah dan pengalaman yang boleh dijadikan sumber inspirasi dalam menguruskan keluarga.

“Ini sekali gus menyaksikan pendekatan menghimpunkan wanita muda dapat memastikan golongan ini terus mendapat sokongan, ilmu dan ruang untuk saling memperkasakan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang telah mengilhamkan Karnival Anak Muda Negeri Melaka buat julung kalinya dengan memastikan kaum hawa juga tidak terpinggir daripada pelbagai pengisian yang disediakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

699
Kongsi :
Previous post TANJUNG BIDARA KAYA DENGAN TARIKAN, KEMUDAHAN PACU PELANCONGAN
Next post SUKARELAWAN BSAT ‘DUTA KECIL’ MAIM SANTUNI GOLONGAN MEMERLUKAN