IBU MUDA MELAKA BUKAN SEKADAR DIBANTU, TETAPI DIPERKASA

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 5 September – Penyertaan ibu muda dalam Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 membuktikan usaha Kerajaan Negeri bukan sekadar memberi bantuan, sebaliknya memperkasa golongan wanita.

Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) Negeri Melaka Datuk Haryaty Hamdzah berkata, menerusi Program Himpunan Ibu Muda: ‘Kita Ibu Muda, Kita Luar Biasa’, ia membuktikan bahawa Kerajaan Negeri turut menyediakan platform ilmu dan sokongan di peringkat akar umbi.

Jelasnya, program itu juga turut memberi penekanan terhadap jaringan dalam kalangan ibu muda, termasuk peluang berinteraksi bersama pemimpin dan pakar kekeluargaan.

“Adakalanya golongan ibu muda ini tidak mempunyai tempat rujukan dan menerusi platform seperti ini, ia menjadi peluang untuk mereka bukan sahaja menimba ilmu tetapi juga meluahkan masalah serta mencari jalan penyelesaian,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan.

WhatsApp Image 2026 09 05 at 4.07.08 PM
HARYATY

Jelas Haryaty, menerusi perkongsian yang diadakan, antara isu yang dibangkitkan peserta adalah seperti perceraian dan cara meneruskan kehidupan selepas berdepan masalah rumah tangga, sekali gus menunjukkan keperluan golongan wanita muda terhadap platform rujukan dan sokongan.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasa wanita amat penting memandangkan golongan itu membentuk hampir separuh daripada komposisi 1.05 juta penduduk Melaka.

Justeru, beliau menyambut baik kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang menyediakan pelbagai platform membabitkan wanita secara seimbang dalam program-program Kerajaan Negeri termasuk menerusi kursus perkahwinan, himpunan ibu muda dan sesi town hall.

“Saya tidak nampak bahawa Melaka mempunyai masalah untuk membawa suara-suara wanita. Cumanya saya suka untuk melihat lebih banyak representasi pemimpin wanita.

“Tidak hanya cukup menyediakan platform dan ruang untuk wanita terlibat, tetapi kita perlu membawa suara serta kepimpinan wanita ke atas kerana wanita lebih memahami dan menjiwai wanita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1414
Kongsi :
Previous post SUKARELAWAN BSAT ‘DUTA KECIL’ MAIM SANTUNI GOLONGAN MEMERLUKAN