
HARI KEDUA LUAR BIASA, HAMPIR 50,000 MERIAHKAN KARNIVAL ANAK MUDA MELAKA
AYER KEROH 5 September – Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 X Konsert Jom Heboh mencatat sambutan luar biasa apabila hampir 50,000 pengunjung membanjiri Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada hari kedua penganjurannya.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, angka direkodkan menunjukkan acara itu berjaya menarik minat masyarakat, khususnya golongan muda, menerusi pelbagai pengisian yang menggabungkan hiburan, pembangunan bakat serta peluang masa depan.
Menurutnya, seramai 7,000 pengunjung hadir pada hari pertama karnival (4 September) sebelum jumlah itu melonjak pada hari kedua.
“Kita menyediakan pelbagai ruang dan pengisian, daripada e-sukan, AI Showcase, Army Warrior Challenge dan Muay Thai, sehinggalah kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerjaya, keusahawanan serta sesi Town Hall.
“Kita menyediakan semua ini kerana anak muda juga memerlukan peluang seperti belajar, bekerja, berniaga, mencipta dan paling penting, peluang untuk didengar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 X Konsert Jom Heboh di MITC, di sini, malam ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat dan Ketua Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Datuk Azhari Muhidin.
Ab Rauf berkata, penganjuran yang julung kali menggabungkan Karnival Anak Muda Negeri Melaka dengan program Jom Heboh dalam satu acara berskala besar itu bukan sekadar untuk mencipta kemeriahan.
Sebaliknya, katanya, ia menjadi platform menghargai rakyat, meraikan bakat, membuka peluang serta mendekatkan perkhidmatan dan limpahan manfaat ekonomi kepada masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


