‘MELAKA TAK RELAKS DEMI RAKYAT’

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 5 September – “Apa yang tak relaks sangat Melaka ni?” itu antara soalan yang sering diajukan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh susulan kekerapan pelbagai acara berskala besar dianjurkan di negeri ini.

Namun, di sebalik kemeriahan yang memenuhi lokasi tumpuan setiap minggu, Ab Rauf berkata, semua itu mempunyai satu tujuan utama iaitu memastikan setiap program dianjurkan membawa limpahan manfaat kepada rakyat.

Katanya, pemilihan Melaka sebagai lokasi Jom Heboh amat bertepatan dengan kedudukan negeri ini sebagai antara destinasi pelancongan utama negara, selain mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

“Saya buat semua ini sebab saya sayang rakyat Melaka. Saya mahu setiap kemeriahan yang kita ciptakan membawa limpahan manfaat kembali kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 X Konsert Jom Heboh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat dan Ketua Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Datuk Azhari Muhidin.

Menurutnya, kehadiran puluhan ribu pengunjung ke acara itu bukan sekadar untuk menikmati hiburan, sebaliknya turut memberi nilai kepada pelbagai sektor termasuk pelancongan serta aktiviti ekonomi rakyat.

“Inilah makna sebenar gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa). Setiap program dilaksanakan, setiap acara dianjurkan dan setiap pengunjung yang dibawa masuk akhirnya mesti memberikan nilai kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

774
Kongsi :
Previous post HARI KEDUA LUAR BIASA, HAMPIR 50,000 MERIAHKAN KARNIVAL ANAK MUDA MELAKA
Next post MELAKA BUKAN SEKADAR DESTINASI SEKALI DATANG