
WRUR: 5,000 ADUAN DITERIMA SEPANJANG 27 SIRI, 72 PERATUS SELESAI
AYER LIMAU 6 September – Sebanyak 5,000 aduan rakyat diterima menerusi 27 siri Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di seluruh Melaka dengan 72 peratus daripadanya telah berjaya diselesaikan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, baki aduan berkenaan kini dalam proses penilaian dan penelitian oleh jabatan serta agensi berkaitan sebelum tindakan susulan dilaksanakan.
Katanya, pelaksanaan WRUR yang kini memasuki siri ke-27 membolehkan Kerajaan Negeri turun padang bagi mendengar sendiri permasalahan rakyat selain memastikan isu berbangkit diambil tindakan.
“Pada keseluruhan aduan yang telah kita terima di seluruh negeri Melaka dalam 27 siri perjalanan Wakil Rakyat Untuk Rakyat ini, kita telah menerima 5,000 aduan dan kita telah dapat menyelesaikan 72 peratus daripada aduan-aduan tersebut.
“Bakinya masih dalam peringkat penilaian dan juga kajian dan kita akan selesaikan sebaik mungkin mengikut portfolio Exco bersama agensi dan jabatan Kerajaan Negeris erta persekutuan,” katanya.
Beliau kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Padang Awam Taman Datuk Setia, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Ketua Menteri berkata, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau sahaja, sebanyak 97 aduan diterima menerusi WRUR, di mana ia akan cuba diselesaikan dalam tempoh seminggu.
Ujar beliau, semua aduan yang diterima akan diselaraskan bersama jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil dengan segera.
Katanya, pendekatan itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap permasalahan yang dibangkitkan rakyat tidak terhenti setakat penerimaan aduan, sebaliknya diberi tindakan susulan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut merakamkan penghargaan kepada Adun Ayer Limau yang sentiasa komited dalam memastikan perkhidmatan Kerajaan Negeri dapat dirasai oleh masyarakat di kawasan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


