TAPS JERNIH RM290 JUTA DIBERI KEUTAMAAN

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER LIMAU 6 September – Kerajaan Negeri akan memastikan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih dan loji rawatan air baharu bernilai lebih RM290 juta dapat disiapkan secepat mungkin bagi menyokong keperluan bekalan air di kawasan Masjid Tanah dan utara Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek berkenaan merupakan antara pembangunan penting yang diberi perhatian bagi memastikan kemudahan bekalan air dapat dimanfaatkan rakyat dalam tempoh terdekat.

Katanya, Kerajaan Negeri akan memastikan pelaksanaan projek itu berjalan seperti dirancang supaya manfaatnya dapat dinikmati penduduk di kawasan terbabit.

“Projek TAPS Sungai Jernih merupakan antara pelaburan berskala besar yang dilaksanakan dengan nilai lebih RM124 juta, disusuli pembangunan Loji Rawatan Air baharu bernilai RM166 juta.

“Projek yang memberikan bekalan air di seluruh kawasan Masjid Tanah dan utara Melaka ini sedang dalam pembinaan dan kita akan pastikan ia dapat disiapkan dalam masa secepat mungkin bagi memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Padang Awam Taman Datuk Setia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri dalam menjamin bekalan air negeri pada masa hadapan.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan projek berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya dapat disegerakan demi kepentingan rakyat.

Menurut portal rasmi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), antara skop kerja bagi TAPS Jernih adalah pembinaan stesen muka sauk di Sungai Rembau dan mengepamnya melalui paip saluran air mentah ke TAPS, pembinaan rangkaian paip saluran air mentah dari stesen muka sauk ke TAPS sepanjang 5.2 kilometer (km), dan pembinaan TAPS untuk simpanan air mentah daripada Sungai Rembau berkapasiti 14,000 juta liter.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

284
Kongsi :
Previous post WRUR: 5,000 ADUAN DITERIMA SEPANJANG 27 SIRI, 72 PERATUS SELESAI
Next post ‘ACIK ZUL’ BERI HADIAH KOMPUTER RIBA UNTUK ANAK ORANG ASLI CEMERLANG