
‘ACIK ZUL’ BERI HADIAH KOMPUTER RIBA UNTUK ANAK ORANG ASLI CEMERLANG
TABOH NANING 6 September – Anak-anak masyarakat Orang Asli yang cemerlang dalam pendidikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning bakal menerima sokongan berterusan menerusi pelbagai insentif termasuk sumbangan komputer riba bagi menyuntik semangat mereka untuk berjaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, pemberian komputer riba itu merupakan antara usaha membantu anak-anak Orang Asli mendapatkan kemudahan pembelajaran yang lebih baik, khususnya mereka yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Menurut beliau, pihaknya sentiasa memantau pencapaian akademik anak-anak Orang Asli di kawasan berkenaan yang menuntut ilmu di beberapa sekolah, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Naning dan sekolah di sekitar Tampin.
“Memang ramai anak-anak Orang Asli di sini yang berjaya dalam pendidikan. Saya selalu mendapatkan keputusan peperiksaan mereka dan melihat siapa yang cemerlang dalam SPM.
“Bagi mereka yang cemerlang, pihak Japerun akan membantu membimbing mereka sehingga masuk universiti, termasuk melalui bantuan kewangan daripada Japerun, Kerajaan Negeri dan TAPEM.
“Pada masa sama, saya memantau dan meminta Tok Batin kampung ini untuk memaklumkan segera kepada saya sekiranya ada lagi anak-anak di kampung ini yang bakal melanjutkan pengajian dan memerlukan sumbangan komputer riba untuk dibantu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas Ramah MeSRa Ketua Menteri Melaka Bersama Masyarakat Kampung Orang Asli Bukit Payung yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Taboh Naning, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Zulkiflee yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di kawasan itu, seramai enam anak Orang Asli telah menerima sumbangan komputer riba dengan nilai peruntukan RM15,000.
Katanya, penerima itu merupakan anak-anak yang sedang dan bakal melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


