
DUN AYER LIMAU DAPAT ENAM DEWAN UNTUK KOMUNITI
AYER LIMAU 6 September – Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau kini memiliki lima dewan terbuka yang telah siap dibina, manakala sebuah lagi bakal dibangunkan bagi menambah kemudahan untuk kegunaan masyarakat setempat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, lima dewan yang telah siap itu membabitkan peruntukan keseluruhan hampir RM1.8 juta, manakala pembinaan sebuah lagi dewan baharu akan dibina sebagai tambahan kepada kemudahan sedia ada.
Katanya, penyediaan kemudahan berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk menambah baik infrastruktur komuniti serta memastikan keperluan penduduk di peringkat akar umbi terus diberi perhatian.
“Usaha menambah baik kemudahan asas di kawasan DUN Ayer Limau akan terus diberi perhatian bagi memastikan keperluan penduduk dapat dipenuhi secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Padang Awam Taman Datuk Setia, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Lima dewan yang telah siap ialah Dewan Taman Datuk Setia bernilai RM500,000; Dewan Taman Tamby Chik Karim (RM350,000); Dewan Kampung Pinang (RM200,000); Dewan Taman Wira Indah (RM399,551.40) dan Dewan Taman Wira Mas (RM350,000).
Ab Rauf berkata, sebuah lagi dewan di Kampung Sungai Siput bakal dibina bagi melengkapkan keseluruhan enam kemudahan dewan yang diluluskan di kawasan berkenaan.
Katanya, kemudahan berkenaan boleh dimanfaatkan penduduk untuk pelbagai aktiviti termasuk program kemasyarakatan, kebajikan, sosial dan pembangunan komuniti.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


