
‘LATERO’ MASKOT RASMI ASPIRING MELAKA GEOPARK
BANDARAYA MELAKA 6 September – ‘Latero’ yang diinspirasikan daripada perkataan laterit dipilih sebagai maskot rasmi Aspiring Melaka Geopark bagi memperkenalkan identiti serta keunikan geologi negeri kepada masyarakat dan pelancong.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad berkata, pemilihan Latero bersama logo rasmi geopark merupakan hasil beberapa siri sesi libat urus yang dilaksanakan sebelum ini dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Menurut beliau, beberapa cadangan logo dan maskot dikemukakan sebelum Latero dipilih dan seterusnya dibawa ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pengesahan sebagai identiti rasmi Aspiring Melaka Geopark.
“Untuk maskot ini, kita telah mereka bentuk satu maskot dan juga logo berkaitan Geopark. Sebenarnya banyak cadangan yang diberikan kerana sesi libat urus ini bukan yang pertama dan kita sudah melaksanakannya beberapa kali.
“Hasil daripada sesi libat urus itu, kita memilih logo dan maskot yang paling sesuai. Maskot itu kita namakan Latero, yang diinspirasikan daripada perkataan laterit, iaitu antara unsur geologi yang mempunyai kaitan dengan keunikan Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Aspiring Melaka Geopark Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Melaka yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.
Nasrul berkata, kewujudan logo dan maskot rasmi bukan sekadar bertujuan membina identiti visual geopark, sebaliknya turut menjadi antara komponen penting dalam persediaan mendapatkan pengiktirafan Geopark Kebangsaan.
Katanya, aspek berkenaan termasuk dalam perkara yang perlu diberi perhatian bagi memenuhi kriteria penilaian pengiktirafan berkenaan.
“Penghasilan identiti rasmi ini melengkapkan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh Aspiring Melaka Geopark menjelang penilaian bagi mendapatkan pengiktirafan Geopark Kebangsaan yang dijadualkan pada November ini,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


