58 PROGRAM UNTUK RAKYAT AYER LIMAU, 97 ADUAN JADI KEUTAMAAN

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

AYER LIMAU 6 September – Lebih 58 program bakal digerakkan sepanjang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau bagi memenuhi pelbagai keperluan rakyat, termasuk kebajikan, pembangunan komuniti, pendidikan, belia, usahawan dan penyelesaian isu setempat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan WRUR Siri Ke-27 itu turut memberi tumpuan kepada 97 aduan rakyat yang telah diterima dan direkodkan sebelum program berkenaan bermula sepenuhnya.

“Semua program ini digerakkan dengan pelbagai pengisian yang menyentuh keperluan rakyat, daripada kebajikan dan pembangunan komuniti hinggalah kepada pendidikan, belia, usahawan serta penyelesaian isu-isu setempat.

“Kejayaan sebenar ialah apabila satu demi satu masalah rakyat dapat kita rungkaikan, satu demi satu aduan dapat kita selesaikan dan satu demi satu beban kehidupan rakyat dapat kita ringankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita DUN Ayer Limau di Padang Awam Taman Datuk Setia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, selepas berakhirnya WRUR DUN Taboh Naning pada 5 September, perjalanan itu diteruskan pula ke DUN Ayer Limau sebagai siri ke-27, sebelum melangkah ke edisi terakhir WRUR di DUN Tanjung Bidara pada 13 hingga 20 September 2026.

Beliau berkata, pendekatan turun padang menerusi WRUR membolehkan Kerajaan Negeri mendekati rakyat secara langsung dan memahami keperluan mereka dengan lebih dekat.

Ujar beliau, kejayaan WRUR tidak hanya diukur berdasarkan jumlah DUN yang berjaya dikunjungi, sebaliknya sejauh mana permasalahan rakyat dapat dirungkai dan aduan mereka diselesaikan.

“Di sebalik setiap aduan ini, ada rakyat yang menunggu, ada keluarga yang mengharapkan penyelesaian dan mungkin ada masalah yang telah sekian lama rakyat pendam tanpa tahu ke mana hendak dibawa.

“Sebab itu pesanan saya kepada semua jabatan dan agensi cukup mudah, apa yang boleh diselesaikan hari ini, selesaikan hari ini. Apa yang memerlukan masa, berikan jalan penyelesaian yang jelas dan apa yang memerlukan tindakan susulan, pantau sehingga selesai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

297
Kongsi :
Previous post ‘LATERO’ MASKOT RASMI ASPIRING MELAKA GEOPARK
Next post WRUR: TELINGA MENDENGAR, MATA MELIHAT, TANGGUNGJAWAB MENYELESAIKAN