
WRUR: TELINGA MENDENGAR, MATA MELIHAT, TANGGUNGJAWAB MENYELESAIKAN
AYER LIMAU 6 September – Membawa telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan tanggungjawab untuk menyelesaikan menjadi pendekatan Kerajaan Negeri menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dalam menyantuni setiap permasalahan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, WRUR bukan sekadar program turun padang atau memenuhi jadual selama seminggu di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya membawa tanggungjawab lebih besar untuk mendengar sendiri suara rakyat dan mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan mereka.
“Sebab itulah, pentadbiran ini tidak memilih untuk menunggu rakyat datang kepada kerajaan. Sebaliknya, kerajaan yang turun mendekati rakyat melalui WRUR, Hari Exco Bertemu Rakyat atau HEBAT dan juga melalui Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.
“Inilah semangat Melaka Sayang Rakyat yang cuba kita terjemahkan melalui cara kerajaan bekerja dan menyantuni rakyat. Bukan sekadar slogan yang kita sebut di atas pentas, tetapi satu prinsip bahawa kerajaan mesti hadir, mesti mendengar dan mesti bertindak apabila rakyat memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Padang Awam Taman Datuk Setia, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf menzahirkan rasa terharu melihat ribuan warga Ayer Limau pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda, warga emas dan pemimpin masyarakat berhimpun dan memberi sokongan kepada WRUR, sekali gus menggambarkan semangat kebersamaan yang kukuh dalam kalangan penduduk Ayer Limau.
“Bagi DUN Ayer Limau ini, tanggungjawab besar diletakkan di bahu YB Datuk Hameed sebagai Adun Ayer Limau untuk menyantuni keperluan keluarga besar Ayer Limau.
“Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk Hameed dan semua kepimpinan negeri yang akan menjayakan program ini,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


