
‘POGHUT’ JADI DNA AYER LIMAU, PUPUK KEBERSAMAAN RAKYAT TANPA JURANG PEMISAH
AYER LIMAU 6 September – Konsep ‘Poghut’ yang dibawa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau sejak 2022 terus menjadi pendekatan menyatukan masyarakat setempat sebagai satu keluarga tanpa mengira perbezaan latar belakang politik, taraf hidup dan agama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pendekatan berkenaan menjadi asas kepada pentadbiran dan kebersamaan yang dibina sejak empat tahun lalu, bagi menyantukan rakyat yang dianggap sebagai keluarga besar di kawasan itu.
Katanya, konsep ‘Poghut’ membolehkan masyarakat Ayer Limau bergerak bersama tanpa sebarang garis pemisah disebabkan perbezaan pandangan mahupun politik.
“Kita memulakan konsep ‘Poghut’ di Ayer Limau bermula daripada tahun 2022. Hari ini masyarakat Ayer Limau tanpa ada rasa tekanan ataupun satu perbezaan pandangan politik, menjadikan mereka boleh menjadi satu keluarga yang sama.
“Kita bersama tanpa ada satu garis pemisah dan semua masyarakat di kawasan ini layak mendapat apa saja yang patut mereka layak terima,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Padang Awam Taman Datuk Setia, di sini, hari ini.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, pendekatan ‘Poghut’ itu turut menterjemahkan pelbagai inisiatif untuk rakyat menerusi aspek pembangunan, pendidikan, ekonomi, taraf hidup dan infrastruktur.
“Jadi selama empat tahun, itu yang berlaku di Ayer Limau. Kita ciptakan kebersamaan untuk membangun dan bangkit bersama di Ayer Limau,” katanya.
Menurutnya, konsep berkenaan juga dibawa menerusi Program WRUR yang sedang berlangsung dengan pelbagai program disusun bagi memenuhi keperluan ‘Poghut’ Ayer Limau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


