
AYER LIMAU TERIMA LIMA MENARA TELEKOMUNIKASI SEJAK 2022
AYER LIMAU 6 September – Usaha memperluas capaian telekomunikasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau terus diperkasa sejak 2022 menerusi pembinaan lima menara telekomunikasi, dengan empat daripadanya telah siap manakala satu lagi bakal dibina di Paya Lebar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pembangunan infrastruktur komunikasi itu dilaksanakan secara berperingkat sejak 2021 bagi memastikan penduduk, khususnya di kawasan yang berdepan masalah capaian, mendapat akses telekomunikasi lebih baik.
Katanya, pembinaan menara telekomunikasi baharu di Paya Lebar akan menjadi antara usaha seterusnya bagi memperluas liputan komunikasi di kawasan terbabit yang sebelum ini berdepan gangguan.
“Sejak awal 2023, dua menara telekomunikasi baharu telah di Kampung Ayer Limau dan Bukit Apit, manakala pada penghujung 2023 sebuah lagi dibina di Sungai Jernih yang sebelum ini berdepan masalah liputan telekomunikasi.
“Seterusnya pada tahun ini satu lagi menara dibina di Taman Sri Aman dan yang terbaharu akan dibina di Paya Lebar. Jadi, sejak saya mentadbir kawasan ini, sebanyak lima menara telekomunikasi telah dan bakal di kawasan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Padang Awam Taman Datuk Setia, di sini, hari ini.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, usaha memperluas liputan komunikasi penting bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada menikmati kemudahan digital yang semakin menjadi keperluan dalam kehidupan seharian.
Katanya, kawasan yang masih mempunyai liputan rendah akan terus dikenal pasti untuk penambahbaikan mengikut keperluan penduduk.
“Ini semua kita buat untuk memastikan masyarakat Ayer Limau mendapat apa yang mereka layak, termasuk dari segi pembangunan infrastruktur, pendidikan dan peningkatan taraf hidup,” katanya.
Beliau berkata, selepas ini kawasan hulu Sungai Jernih turut akan dilihat semula bagi mengenal pasti keperluan penambahbaikan liputan komunikasi di kawasan berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


