
LEBIH 5,000 GAMATKAN PEMBUKAAN WRUR AYER LIMAU
AYER LIMAU 6 September – Lebih 5,000 rakyat membanjiri Majlis Pelancaran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Padang Awam Taman Datuk Setia, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, jumlah kehadiran itu adalah di luar jangkaan dan mencerminkan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap pelaksanaan WRUR di kawasan berkenaan.
Katanya, kehadiran pelbagai lapisan masyarakat turut memperlihatkan semangat kebersamaan yang menjadi asas pembangunan Ayer Limau sejak beberapa tahun lalu.
“Alhamdulillah, kehadiran lebih 5,000 orang pada majlis pelancaran WRUR Ayer Limau adalah diluar jangkaan, sekali gus mencerminkan sokongan rakyat kepada pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Padang Awam Taman Datuk Setia, di sini, hari ini.
Hameed berkata, WRUR Ayer Limau bukan sekadar program sepanjang seminggu, sebaliknya menjadi kesinambungan kepada pelbagai usaha pembangunan dan santunan rakyat yang telah dilaksanakan sejak 2022.
Katanya, pelbagai program yang disusun sepanjang WRUR turut meliputi aspek pendidikan, ekonomi, infrastruktur dan peningkatan taraf hidup masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


