LEBIH 1,000 BERKONVOI BERSAMA TPM, KETUA MENTERI MELAKA 

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KESIDANG 6 September – Lebih 1,000 peserta berkonvoi motosikal bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Himpunan Bermotor Anak Muda Negeri Melaka sempena Karnival Anak Muda Negeri Melaka X Jom Heboh, hari ini.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, konvoi berkenaan bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam sebelum bergerak ke tapak Majlis Perasmian Penutup Karnival Anak Muda Negeri Melaka X Jom Heboh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

“Sambutan amat menggalakkan apabila Ketua Menteri bersama 1,000 peserta menunggu ketibaan Timbalan Perdana Menteri di perkarangan LTAM sebelum berkonvoi ke MITC.

“Pada program sama kira-kira 450 unit topi kaledar eksklusif turut diedarkan kepada peserta konvoi yang terawal,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hadir Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco serta lain-lain kenamaan.

Menurut Abdul Hakim, secara keseluruhan untuk Karnival Anak Muda Negeri Melaka X Jom Heboh pihak penganjur Legacy O4 Melaka Attack menerima sebanyak 43,700 pendaftaran.

“Pihak penganjur juga mengingat dan memaklumkan kepada peserta supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan,” katanya.

Jelasnya, aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan sepanjang penganjuran berkenaan bagi memastikan himpunan dapat berlangsung dalam suasana tertib, selamat dan lancar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

200
Kongsi :
Previous post ‘POGHUT’ JADI DNA AYER LIMAU, PUPUK KEBERSAMAAN RAKYAT TANPA JURANG PEMISAH
Next post LEBIH 5,000 GAMATKAN PEMBUKAAN WRUR AYER LIMAU