
MELAKA BINA MASA DEPAN, BERMULA DENGAN ANAK MUDA
AYER KEROH 6 September – Kekuatan hampir 300,000 anak muda di Melaka menjadi aset penting yang bakal menentukan wajah negeri ini dalam tempoh 10, 20 dan 30 tahun akan datang.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, justeru Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh menyediakan platform yang menghimpunkan pelbagai dunia anak muda bagi memastikan golongan itu mendapat peluang, ruang dan sokongan untuk membina masa depan.
Katanya, generasi muda hari ini bukan sahaja terdiri daripada pelajar, malah mereka yang baru memasuki alam pekerjaan, memulakan perniagaan, mengembangkan bakat serta mencari rezeki sebagai penghantar p-hailing.
“Dalam beberapa tahun sahaja lagi, merekalah yang akan menjadi jurutera, guru, usahawan, pemimpin industri kita dan pemimpin masyarakat.
“Sebab itu saya selalu percaya, kalau kita mahu membina Melaka untuk masa hadapan, kita mesti mula dengan membina anak mudanya pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 X Jom Heboh yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr Ahmad Zahid Hamidi di Zon B Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Penyelaras Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, atas kesedaran itu, Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 dianjurkan dengan pengisian merentasi pelbagai aspek kehidupan golongan muda termasuk pesta makanan, town hall, permotoran, sukan, kerjaya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi, kecerdasan buatan (AI) serta keusahawanan.
Katanya, pendekatan itu bagi memastikan setiap anak muda yang hadir dapat menemukan peluang mengikut minat, keperluan dan bidang yang ingin diterokai.
“Kita mahu apabila anak muda datang ke sini, mereka menemukan peluang. Kalau nak cari pekerjaan, ada. Kalau nak tahu tentang TVET, ada. Kalau minat teknologi dan AI, ada.
“Kalau minat sukan, ada. Kalau mahukan cabaran, ada. Kalau mahu menyuarakan pandangan kepada Kerajaan, pentasnya juga kita sediakan,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri tidak mahu dasar dan program berkaitan anak muda dirancang secara satu hala tanpa mengambil kira pandangan serta perubahan keperluan generasi berkenaan.
“Penting untuk kita faham bahawa kerajaan juga perlu seiring dengan arus perubahan zaman. Kita tidak boleh sekadar merancang dasar anak muda daripada bilik mesyuarat.
“Kita perlu turun bersama mereka, mendengar suara mereka dan menyediakan platform yang benar-benar dekat dengan dunia anak muda,” katanya.
Ab Rauf berkata, pendekatan menghimpunkan pelbagai kelompok anak muda di bawah satu platform membolehkan golongan berkenaan bukan sahaja mendapatkan manfaat, malah berinteraksi dan membina jaringan sesama mereka.
“Pendek kata, apa sahaja dunia anak muda, kita himpunkan di bawah satu bumbung, satu pentas dan satu platform,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


