MELAKA MAHU SEDIA RUANG SIHAT, POSITIF DAN TERKAWAL UNTUK KOMUNITI PERMOTORAN

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 6 September – Kerajaan Negeri memilih pendekatan mendekati komuniti permotoran dengan menyediakan ruang yang sihat, positif dan terkawal bagi menyalurkan minat serta tenaga anak muda, bukannya menjauhkan mereka daripada dunia berkenaan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan turun padang dan mendengar sendiri suara anak muda penting bagi memastikan setiap dasar yang dirangka benar-benar memahami cabaran, minat serta keperluan generasi berkenaan.

Katanya, komuniti permotoran yang dekat dengan jiwa anak muda perlu diberi ruang sewajarnya supaya minat mereka dapat disalurkan menerusi aktiviti yang terkawal dan tidak menjejaskan keselamatan.

“Kita mesti keluar, kita mesti turun dan kita mesti dengar sendiri suara mereka. Paling penting, kita mesti memahami bahasa mereka, cabaran mereka, minat mereka dan apa yang mereka fikirkan tentang masa depan.

“Barulah dasar yang kita bina benar-benar berpijak di bumi nyata,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 X Jom Heboh yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr Ahmad Zahid Hamidi di Zon B Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Penyelaras Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, atas kesedaran bahawa dunia permotoran cukup dekat dengan kehidupan anak muda, Kerajaan Negeri memilih untuk menyediakan ‘gelanggang’ yang betul bagi komuniti berkenaan.

Katanya, himpunan komuniti permotoran pada karnival berkenaan bukan sekadar meraikan minat terhadap motosikal, bahkan menjadi platform untuk membina persahabatan dan kebersamaan dalam suasana yang lebih selamat.

“Kita himpunkan komuniti permotoran di sini supaya minat dan tenaga anak muda dapat disalurkan melalui aktiviti yang sihat, positif dan terkawal,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf mengingatkan ribuan komuniti permotoran yang menyertai program berkenaan supaya sentiasa menghormati undang-undang dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

Katanya, minat terhadap motosikal, aktiviti berkonvoi dan berkumpul bersama rakan tidak menjadi masalah selagi ia dilakukan secara bertanggungjawab.

“Kita boleh minat motosikal. Kita boleh berkonvoi. Kita boleh berkumpul beramai-ramai. Tetapi undang-undang mesti dihormati dan keselamatan mesti menjadi keutamaan.

“Himpunan ini kita adakan untuk mengeratkan persahabatan dan membina kebersamaan, bukannya menjadi lesen untuk sesiapa melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peminat permotoran supaya tidak menjadikan jalan raya sebagai medan perlumbaan dan memastikan semua peserta pulang dengan selamat kepada keluarga masing-masing selepas program.

“Saya mahu semua pulang dengan selamat kepada pangkuan keluarga masing-masing. Ingat, jalan raya bukan litar perlumbaan.

“Hebat di jalan raya bukan siapa paling laju, tetapi siapa paling bertanggungjawab,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

276
Kongsi :
Previous post BERUNDING ELOK-ELOK, PILIH ‘PARTNER’ YANG IKHLAS DAN JUJUR – AHMAD ZAHID
Next post MELAKA BINA MASA DEPAN, BERMULA DENGAN ANAK MUDA