
BERUNDING ELOK-ELOK, PILIH ‘PARTNER’ YANG IKHLAS DAN JUJUR – AHMAD ZAHID
AYER KEROH 6 September – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi mandat kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk menentukan rakan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pada masa sama, beliau mengingatkan supaya rundingan berhubung kerjasama politik itu tidak menjejaskan kedudukan BN untuk mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRN Melaka 2021.
Ahmad Zahid berkata, rakan kerjasama yang dipilih perlu mempunyai kesetiaan, keikhlasan dan kejujuran serta mampu membantu BN mencapai kemenangan pada PRN akan datang.
“Saya beri mandat kepada (Datuk Seri Utama) Ab Rauf untuk pilih ‘partner’ yang setia. Pilih rakan kerjasama yang boleh memberikan kemenangan kepada kita (BN). Pilih ‘partner’ yang ikhlas dan jujur dengan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Karnival Anak Muda Melaka serta Jom Heboh 2026 di perkarangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga Ketua Pemuda Umno.
Turut hadir, barisan Exco dan Timbalan-timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Ab Rauf perlu memastikan rundingan berhubung kerjasama politik dibuat dengan baik serta mengambil kira kepentingan rakyat Melaka.
Katanya, perkara paling penting ialah kedudukan 21 kerusi yang dimenangi BN pada PRN 2021 terus dipertahankan.
“Datuk Seri Utama Ab Rauf, berunding dengan elok. Jaga hati orang Melaka. Jangan kurang daripada 21 kerusi. Yang tujuh kerusi lagi, tidak apa, kita serah kepada mereka,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, suara rakyat dan anak muda Melaka turut menjadi antara pertimbangan dalam menentukan bentuk kerjasama politik pada PRN akan datang.
“Saya tahu suara anak muda di Melaka mahukan siapa. Saya tahu penduduk Melaka mahu kita bekerjasama dengan siapa. Tiba masanya, saya tahu keputusan yang terbaik yang akan saya buat demi kepentingan Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


