BUKAN AUTA, BUKAN DUSTA..INILAH MELAKA SAYANG RAKYAT

Masa Membaca:2 Minit, 47 Saat

SUNGAI UDANG 7 September – ‘Bukan auta, bukan juga dusta’ menjadi penegasan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh terhadap komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap program turun padang membawa manfaat yang boleh dirasai rakyat.

Beliau berkata, setiap persinggahan menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat tidak seharusnya sekadar menjadi kunjungan atau acara rasmi, sebaliknya perlu meninggalkan sesuatu yang memberi makna kepada kehidupan masyarakat.

“Sebab itu, setiap kali turun padang, saya tidak mahu kita datang dengan tangan kosong. Biarlah setiap persinggahan dan setiap pertemuan membawa sesuatu yang boleh dirasai oleh rakyat,” katanya ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Majlis Penutup Karnival Sungai Udang Kampung Kita di Taman Desa Bertam, di sini, hari ini.

Menurutnya, menerusi jelajah di DUN Sungai Udang, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan khas berjumlah RM150,000 bagi menyantuni pelbagai keperluan serta meringankan beban warga Sungai Udang.

Antara yang menerima manfaat termasuk Perpustakaan Desa Kampung Bertam Ulu yang menerima RM10,000 bagi penambahbaikan kemudahan dan peralatan, selain lebih RM42,000 melalui Tabung Bencana kepada mangsa banjir terjejas.

Ujar beliau, Kerajaan Negeri turut meluluskan dua rumah bina baharu bernilai RM140,000 dan dua rumah baik pulih bernilai RM40,000 bagi empat keluarga yang memerlukan.

Dalam sektor pendidikan pula, ujar Ab Rauf, sejumlah RM7,000 disalurkan kepada tujuh Sekolah Rendah Kebangsaan, manakala lebih RM5,000 diberikan kepada tiga tadika dan lapan Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM dalam DUN Sungai Udang

“Perhatian terhadap pendidikan agama turut diteruskan apabila sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM baharu bakal dibangunkan di Sungai Udang dengan nilai pembangunan RM9.45 juta dan dijangka siap pada 2029.

“Selain itu, lebih RM23,000 disalurkan kepada 195 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak dan Sekolah Menengah Agama JAIM Al-Ahmadi menerusi Biasiswa Melaka dan BIJAK SPM,” katanya.

Tambah Ketua Menteri, dalam aspek kebajikan, sumbangan alat perubatan bernilai RM1,000 diberikan kepada Shahari yang diuji dengan strok, selain bantuan tunai keseluruhan RM4,000 kepada 20 penduduk menerusi ziarah kasih yang diadakan.

“Pada masa sama, seramai 150 ibu tunggal, bapa tunggal dan asnaf turut menerima sumbangan keseluruhan RM30,000.

“Kerajaan Negeri turut menyantuni golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi sumbangan RM3,000 kepada Persatuan Veteran ATM serta RM2,000 kepada 10 penerima,” katanya.

Ab Rauf berkata, pemerkasaan syiar Islam turut diberi perhatian apabila pembinaan Masjid Kariah Seri Bertam bernilai RM5 juta bakal dimulakan, selain RM11,000 disalurkan kepada 22 surau dalam DUN Sungai Udang.

Katanya, pelbagai bantuan dan sumbangan yang dibawa menerusi jelajah itu hanyalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

“Mungkin nilainya berbeza bagi setiap penerima, tetapi bagi saya, nilai sebenar bukan terletak pada berapa besar peruntukan yang kita belanjakan, tetapi berapa besar maknanya yang dapat kita bawa ke dalam kehidupan rakyat,” katanya.

Ab Rauf turut menegaskan, usaha Kerajaan Negeri bukan sekadar kata-kata, sebaliknya dapat dilihat menerusi pelbagai projek dan bantuan yang dilaksanakan untuk rakyat Sungai Udang.

“Jika ada yang kata apa yang Kerajaan Negeri lakukan ini sekadar kata-kata, saya mahu tuan-tuan dan puan-puan lihat sendiri. Hari ini Sungai Udang menjadi saksi. Rumah kita usahakan, pendidikan kita perkasa, kebajikan kita santuni dan pembangunan kita terus gerakkan.

“Jadi, ini bukan auta, bukan juga dusta, tetapi inilah Melaka Sayang Rakyat. Bukan sekadar slogan yang kita laungkan, tetapi satu janji yang kita pegang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

378
Kongsi :
Previous post 9,000 UMAT ISLAM SEKITAR SERI BERTAM BAKAL TERIMA MASJID BAHARU TAHUN HADAPAN
Next post WTE SUNGAI UDANG KINI MASUK FASA PEMBINAAN