KERETAPI SARONG MELAKA SASAR LEBIH 3,000 PESERTA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDA HILIR 7 September – Lokasi tumpuan sekitar Banda Hilir dijangka meriah dengan kehadiran ribuan peserta yang menggayakan kain sarung pada penganjuran Program Keretapi Sarong Melaka 2026 bersempena Sambutan Hari Malaysia 16 September ini.

Pengurus Besar Bahagian Promosi dan Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad berkata, pihaknya menyasarkan acara itu akan melibatkan lebih 3,000 penyertaan berbanding kira-kira 2,000 orang sahaja pada tahun lalu.

“Jumlah penyertaan tahun ini dijangka meningkat memandangkan Keretapi Sarong kini semakin dikenali sebagai antara program yang menarik minat masyarakat khususnya golongan muda.

“Acara ini telah menjadi satu fenomena, khususnya dalam kalangan anak-anak muda dan mereka yang berminat untuk berkarya mengenai pakaian tradisional serta sambutan Hari Malaysia.

“Kita mengalu-alukan mereka untuk hadir dan bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Malaysia serta perarakan Keretapi Sarong tahun ini,” katanya pada sidang media Keretapi Sarong Melaka 2026 di Mahkota Parade, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan; Pengurus Besar LOCCO Malaysia, Shamsul Bahrin Zainuzzaman dan Pengerusi Pertubuhan Karya Seni (PERKASE), Suhaib Daud.

Nasrul berkata, penganjuran Keretapi Sarong di Melaka turut memperlihatkan perkembangan positif apabila program itu memasuki penganjuran kali kedua selepas diperkenalkan di negeri ini tahun lalu.

“Keretapi Sarong bermula di Lembah Klang dan kini menghampiri usia 10 tahun, telah berkembang menjadi satu fenomena di peringkat negara.

“Saya lihat ia telah memberikan impak cukup baik kepada rakyat Malaysia dalam menyambut Hari Malaysia, bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi turut diperluaskan ke negeri-negeri lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

373
Kongsi :
Previous post TOK RAUF DEKATI VETERAN, SUMBANG RM3,000 BANTU GERAK KERJA PERSATUAN
Next post ‘WIRA’ MAIM DISARAN PERLUAS PERANAN KE BIDANG KECEMASAN