‘WIRA’ MAIM DISARAN PERLUAS PERANAN KE BIDANG KECEMASAN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 7 September – Badan Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT) Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) disaran memperluas skop peranan kepada bidang kecemasan menerusi penglibatan dalam Paramedik Komuniti (PARAKOM), sekali gus memperkukuh khidmat sukarelawan kepada masyarakat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, pendekatan itu berpotensi memanfaatkan kemahiran serta tenaga ahli BSAT untuk membantu masyarakat dalam situasi yang memerlukan tindakan segera.

Katanya, penglibatan dalam bidang kecemasan juga mampu membuka ruang kepada sukarelawan BSAT mengembangkan pengalaman dan kemahiran mereka, selain menjadi aset penting kepada komuniti ketika berdepan kejadian tidak dijangka.

“Tidak mustahil suatu hari nanti BSAT turut berpotensi menyumbang tenaga dalam misi bantuan ke luar negara, khususnya ke negara Islam yang dilanda bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Watikah Pelantikan Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT) dan Program Pemerkasaan Sukarelawan Penjagaan Spiritual Pesakit di Universiti Multimedia (MMU) Bukit Beruang, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad dan Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, penglibatan golongan muda perlu diperkasa bagi memastikan gerakan kesukarelawanan terus berkembang, khususnya dalam bidang yang memerlukan tenaga, kemahiran dan kesediaan untuk berkhidmat.

“Kita mahu lebih ramai generasi muda tampil menyumbang tenaga kerana mereka boleh menjadi sebahagian daripada penggerak komuniti,” katanya.

Menurutnya, penglibatan sukarelawan dalam pelbagai bidang bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah membentuk generasi muda yang lebih prihatin, berkemahiran dan bersedia membantu ketika diperlukan.

Katanya, BSAT boleh menjadi platform kepada golongan muda untuk menyumbang kepakaran masing-masing, termasuk dalam aspek kebajikan, kesihatan, kecemasan dan bantuan kemanusiaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

362
Kongsi :
Previous post KERETAPI SARONG MELAKA SASAR LEBIH 3,000 PESERTA