
BAS DUA TINGKAT PROMOSI PELANCONGAN MELAKA-SINGAPURA
PENGKALAN BATU 8 September – Perkhidmatan bas dua tingkat 707 yang membawa pelancong dari Singapura dan China ke Melaka dilihat berpotensi menjadi ‘roda promosi’ baharu dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan negeri.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, usaha diterajui syarikat 707 itu wajar diberi sokongan kerana bukan sahaja menyediakan alternatif pengangkutan, malah secara tidak langsung memperkenalkan Melaka kepada pelancong antarabangsa.
Katanya, perkhidmatan berkenaan merekodkan kekerapan sehingga lapan perjalanan memasuki Melaka setiap hari, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk mempromosikan produk dan destinasi pelancongan negeri.
“Bas ini banyak membawa pelancong dari Singapura dan China ke Melaka dengan kekerapan sehingga lapan trip memasuki negeri ini dalam sehari.
“Kita berharap syarikat ini dapat membantu mempromosikan Melaka, sekali gus menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Pelancaran Dua Buah Bas Dua Tingkat Bagi Perkhidmatan Perjalanan SingapuraβMelaka di Kampung Batu Hampar, di sini, 5 September lalu.
Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan berkata, perkhidmatan itu turut berpotensi menjadi alternatif kepada pelancong untuk menikmati pakej dan produk pelancongan yang ditawarkan di Melaka.
“Perkhidmatan ini kita harap dapat menjadi salah satu lagi alternatif pengangkutan kepada pelancong untuk menikmati pakej pelancongan di Melaka.
“Apabila lebih ramai pelancong dibawa masuk, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor pelancongan, malah turut merancakkan ekonomi setempat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan kejayaan pengasas syarikat 707 yang merupakan anak jati Asahan sebagai satu kebanggaan kepada masyarakat setempat dan membuktikan anak Melaka dari luar bandar mampu mencipta kejayaan serta menyumbang kembali kepada negeri.
“Saya mewakili Kerajaan Negeri Melaka ingin mengucapkan tahniah kepada anak jati Asahan yang berasal dari FELDA Bukit Senggeh kerana memilih syarikat 707 untuk melancarkan bas dua tingkat ini.
“Saya berharap usaha ini dapat menjadi satu lagi bentuk kerjasama dan kita sama-sama berganding bahu untuk memacu sektor pelancongan Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

