‘LEBIH RAMAI ANAK SUNGAI UDANG BOLEH BERSEKOLAH AGAMA’

Masa Membaca:2 Minit, 29 Saat

SUNGAI UDANG 8 September – Impian lebih ramai anak di sekitar Sungai Udang mendapatkan pendidikan agama bakal menjadi kenyataan apabila Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) baharu bakal dibina di Kampung Sungai Udang tidak lama lagi.

Ia sekali gus meleraikan penantian lebih 20 tahun penduduk di kawasan berkenaan untuk mendapatkan sekolah agama yang baharu.

Guru Besar SRA JAIM Sungai Udang, Muhammad Ma’aruf, 40, berkata, sekolah sedia ada yang berusia dianggarkan 50 tahun hanya mempunyai lapan kelas dan berdepan kekangan ruang sehingga ada permohonan murid yang terpaksa ditolak kerana kapasiti sudah penuh.

Katanya, keadaan itu berlaku apabila jumlah penduduk dan keluarga di kawasan Sungai Udang semakin bertambah, khususnya dengan pembangunan taman perumahan baharu di sekitar kawasan berkenaan.

“Setakat ini ada 176 murid, tetapi sekolah lama hanya mempunyai lapan kelas dan bilik darjah pula kecil. Satu kelas boleh memuatkan sekitar 30 murid sahaja dan itu pun sudah dianggap padat.

“Jadi ada ibu bapa yang memohon untuk anak mereka bersekolah di sini, tetapi kita terpaksa menolak kerana kuota sudah penuh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pecah Tanah SRA Sungai Udang sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Sungai Udang yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kampung Sungai Udang, di sini, hari ini.

Muhammad berkata, pembinaan sekolah baharu yang menyediakan 12 bilik darjah dengan kapasiti sehingga 360 murid itu bakal membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak setempat untuk mengikuti pendidikan agama.

“Dengan adanya sekolah baharu ini, kita dapat memberikan keselesaan kepada semua murid dan guru, selain menampung lebih ramai anak-anak Sungai Udang yang mahu mendapatkan pendidikan agama.

“Kalau sebelum ini lapan kelas, sekolah baharu ada 12 kelas. Jadi lebih ramai anak-anak boleh diterima dan tidak lagi berdepan masalah kuota seperti sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, guru SRA JAIM Sungai Udang, Dayang Senandong Moomin, 40, berkata, pembinaan sekolah baharu itu amat bermakna kepada penduduk setempat kerana memberi ruang kepada anak-anak kampung mendapatkan pendidikan agama tanpa perlu mencari sekolah yang jauh.

“Sebelum ini ada anak kampung yang kita terpaksa tolak atas dasar kepadatan atau kesesakan dalam kelas. Jadi sekolah baharu ini memberi ruang dan peluang kepada anak-anak kampung untuk bersekolah di kawasan mereka sendiri.

“Bila sekolah dekat, lebih mudah ibu bapa menghantar anak-anak dan dengan fasiliti yang disediakan, kita harap sekolah baharu ini dapat dibina dengan segera,” katanya.

Dayang berkata, kewujudan sekolah baharu itu bukan sahaja menambah kapasiti, malah memperkasakan pendidikan Islam dalam kalangan generasi muda Sungai Udang.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri dan Datuk Rais Yasin (Penyelaras DUN Sungai Udang) kerana merealisasikan pembinaan SRA JAIM yang amat bermakna untuk penduduk di sini,” katanya yang juga pernah bersekolah di situ antara tahun 1995 hingga 1998.

Projek SRA JAIM Sungai Udang bernilai RM9.45 juta itu dibangunkan di atas Lot 14963, Mukim Sungai Udang, seluas 1.331 ekar dan merangkumi blok tiga aras dengan 12 bilik darjah, blok kantin serta blok surau, di mana ia dijangka siap pada 28 Mac 2029.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

542
Kongsi :
Previous post PESARA TENTERA 84 TAHUN SEBAK, TAK SANGKA KETUA MENTERI DATANG KE RUMAH
Next post HARI MALAYSIA: TAWAR DISKAUN KHAS, MENARA TAMING SARI SASAR 4,000 PENGUNJUNG