PESARA TENTERA 84 TAHUN SEBAK, TAK SANGKA KETUA MENTERI DATANG KE RUMAH

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SUNGAI UDANG 8 September – Meskipun cuma sebentar, peluang bersemuka dan bersembang bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh amat bermakna buat Shahari Abu, 84, kini terlantar akibat masalah angin ahmar.

Kunjungan Ketua Menteri ke kediaman pesara tentera itu di Taman Peruna, adalah  bersempena Program Ziarah Kasih Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.

Bercakap mewakili bapanya, anak bongsu Shahari, Siti Aisyah Shahari, 43, berkata, kehadiran Ab Rauf meluangkan masa bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan juga amat memberi makna buat mereka sekeluarga.

Katanya, perhatian yang diberikan Kerajaan Negeri itu turut memberi ruang kepada keluarganya berkongsi keadaan dan keperluan mereka secara terus, terutama apabila dia sendiri menjadi tulang belakang keluarga.

“Terima kasih Ketua Menteri sudi ziarah ayah saya. Dalam masa yang sama, menerusi program ini kami mendapat ruang untuk berkongsi keadaan serta keperluan semasa.

“Saya juga menjadi tulang belakang keluarga dan menyara tiga anak saudara yang merupakan anak kepada arwah kakak saya,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada program Ziarah Kasih sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Taman Peruna, di sini, semalam.

Siti Aisyah berkata, kunjungan tersebut membuatkan mereka sekeluarga benar-benar merasai makna program berkenaan kerana perhatian diberikan terus kepada rakyat di kediaman masing-masing, tanpa perlu mereka hadir mencari pemimpin.

“Pada saya, pelaksanaan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat ini memang betul-betul sama dengan nama program. Kami memang rasa disayangi dan diberi perhatian,” katanya.

Terdahulu, Ab Rauf bersama Penyelaras DUN Sungai Udang yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, turut menyampaikan sumbangan berupa kit makanan kepada keluarga berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

403
Kongsi :
Previous post HASIL SEWA PREMIS WAKAF JONKER WALK TAMPUNG PENGURUSAN DUA MASJID – MAIM