
HASIL SEWA PREMIS WAKAF JONKER WALK TAMPUNG PENGURUSAN DUA MASJID – MAIM
BANDA HILIR 8 September – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyalurkan hasil sewaan premis wakaf miliknya di Jonker Walk sebagai sumber sokongan berterusan bagi menampung pengurusan dan keperluan Masjid Kampung Hulu dan Masjid Kampung Kling.
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, langkah mengoptimumkan aset wakaf tersebut amat penting bagi memastikan manfaat harta wakaf terus mengalir kepada masjid dan umat Islam di negeri ini.
Katanya, sebanyak 25 daripada 32 premis wakaf MAIM di kawasan tersebut sudah disewakan manakala tujuh lagi masih kosong dan kini dibuka kepada mana-mana pihak yang berminat untuk dibangunkan semula.
“Ini adalah hartanah wakaf masjid jadi hasil sewa diperoleh akan digunakan untuk pengurusan masjid termasuk membiayai keperluan operasi, program serta penyelenggaraan di dua masjid ini.
“Jadi kita bukan sekadar mahu menyewakan premis, tetapi memastikan hasil daripada aset wakaf ini kembali memberi manfaat kepada masjid dan umat Islam,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Lawatan Tapak MAIM bersama Wakil Pejabat Ketua Menteri (CMO) ke Premis Wakaf MAIM di Jonker Walk, Jalan Hang Kasturi, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis dan Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Ketua Menteri Melaka merangkap wakil CMO Yong Fun Juan serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Shaifulfazlee berkata, MAIM kini membuka peluang kepada pihak swasta untuk mengambil alih kerja baik pulih tujuh premis tersebut sebagai sebahagian pendekatan menghidupkan semula aset wakaf yang masih belum dimanfaatkan itu.
Menurutnya, sebagai galakan kepada penyewa, MAIM bersedia mempertimbangkan kaedah sewaan fleksibel termasuk pengecualian sewa antara tiga hingga enam bulan serta pengurangan kadar sewa sehingga tempoh tiga tahun, bergantung kepada kesesuaian.
Katanya, tempoh sewaan lebih panjang turut boleh dipertimbangkan bagi membolehkan penyewa mendapatkan semula modal yang dilaburkan untuk kerja baik pulih, sekali gus memastikan premis dapat dimanfaatkan secara berterusan.
“Pendekatan ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak apabila penyewa mendapat peluang menjalankan perniagaan di lokasi strategik manakala MAIM dapat memastikan aset wakaf tidak terbiar dan yang paling penting hasilnya dapat terus disalurkan kepada masjid.
“Semakin banyak aset wakaf ini dapat dimanfaatkan, semakin besar potensinya untuk menjana hasil yang akhirnya kembali kepada institusi masjid dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

