HARI MALAYSIA: TAWAR DISKAUN KHAS, MENARA TAMING SARI SASAR 4,000 PENGUNJUNG

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BANDA HILIR 8 September – Menara Taming Sari dijangka menerima lonjakan sehingga 4,000 pengunjung sempena Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, sekali gus menyemarakkan lagi suasana di lokasi ikonik pelancongan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan berkata, jumlah itu turut didorong penganjuran Keretapi Sarong Melaka 2026 yang menjadikan produk pelancongan itu sebagai lokasi tumpuan pengunjung.

“Insya-Allah kali ini kita menyediakan khemah dan pentas bagi pelbagai aktiviti dan program pengisian yang dijangka menjadi tarikan kepada pengunjung, sekali gus merancakkan lagi kedatangan pelancong.

“Tahun lepas walaupun dalam waktu hujan, jumlah pengunjung juga sangat ramai. Jadi kita jangka tahun ini ada peningkatan walaupun sambutan diadakan pada hari biasa,” katanya pada sidang media Keretapi Sarong Melaka 2026 di Mahkota Parade, di sini, semalam.

Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Promosi dan Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad; Pengurus Besar LOCCO Malaysia, Shamsul Bahrin Zainuzzaman dan Pengerusi Pertubuhan Karya Seni (PERKASE), Suhaib Daud.

Nur Azan berkata, Menara Taming Sari bukan sekadar menjadi ikon pelancongan, malah berperanan sebagai lokasi strategik bagi penganjuran pelbagai program membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

“Sempena Hari Malaysia, kita turut mempertimbangkan tawaran diskaun khas kepada pengunjung yang hadir ke Menara Taming Sari termasuklah mereka yang menyertai acara Keretapi Sarong Melaka 2026,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

385
Kongsi :
Previous post ‘LEBIH RAMAI ANAK SUNGAI UDANG BOLEH BERSEKOLAH AGAMA’
Next post MELAKA AMAL POLITIK KASIH SAYANG