
MELAKA AMAL POLITIK KASIH SAYANG
AYER LIMAU 8 September – Melaka memilih politik kasih sayang berbanding politik kebencian, sekali gus memastikan tumpuan pentadbiran kekal kepada penyelesaian masalah serta kebajikan rakyat di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu diterjemahkan menerusi pelbagai program turun padang termasuk Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang memberi peluang kepada pimpinan negeri mendekati masyarakat secara langsung.
Menurutnya, pendekatan politik kasih sayang berbeza daripada politik berasaskan kebencian, fitnah dan perpecahan kerana tumpuan Kerajaan Negeri adalah untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
“Kita memupuk kempen ‘Melaka Sayang Rakyat’ dalam bentuk kasih sayang antara pimpinan dan rakyat. Kasih sayang rakyat dan pimpinan telah diterjemahkan pada setiap kunjungan dan juga Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.
“Kita adalah satu gagasan Kerajaan yang meneruskan pimpinan tanpa memfitnah orang dan politik kebencian,” katanya kepada pemberita selepas Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Jeti Paya Lebar, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, penerimaan rakyat terhadap pendekatan berkenaan amat baik dan Kerajaan Negeri akan terus memastikan setiap program yang dilaksanakan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Katanya, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat juga menjadi platform untuk melihat sendiri permasalahan dihadapi rakyat selain memastikan isu berbangkit dapat diberi perhatian dan tindakan sewajarnya.
“Saya harap apabila kita menyerahkan mandat ini kepada rakyat, rakyat terus melihat kebaikan dan faedah yang dapat daripada gagasan Melaka Sayang Rakyat ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


