TOK RAUF DEKATI VETERAN, SUMBANG RM3,000 BANTU GERAK KERJA PERSATUAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SUNGAI UDANG 7 September – Kesudian Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh meluangkan masa menyantuni golongan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Medan Selera Kampung Bertam Ulu, di sini menjadi antara cerminan keprihatinan pemimpin negeri itu terhadap jasa dan pengorbanan mereka.

Kunjungan itu berlangsung sempena Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, yang turut memberi peluang kepada beliau bertemu dan beramah mesra dengan masyarakat setempat.

Dalam kunjungan berkenaan, Ab Rauf turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada Persatuan Veteran ATM Sungai Udang sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan golongan veteran yang pernah berkhidmat demi keselamatan dan kedaulatan negara.

Penaung Veteran ATM Sungai Udang, Brigedier Jeneral (B) Khairul Anuar Yaacob berkata, sumbangan berkenaan amat membantu persatuan dalam melaksanakan aktiviti kebajikan serta urusan melibatkan veteran di kawasan berkenaan.

Menurutnya, bantuan kewangan diperlukan bagi menampung keperluan kecil tetapi penting, termasuk kos perjalanan apabila membawa atau menziarahi veteran yang memerlukan bantuan.

“Bantuan untuk veteran ini memang memudahkan kita untuk buat kerja. Contohnya, nak ajak seseorang ke sini pun memerlukan sedikit kewangan, duit minyak.

“Kalau kita nak pergi ziarah veteran yang sakit pun, kita tidak ada duit, jadi kadang-kadang RM30 atau RM40 diperlukan untuk membeli barang atau diberikan kepada mereka.

“Jadi, sumbangan ini kita gunakan untuk perkara-perkara seperti itu, memang membantu,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Anuar turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas keprihatinan yang diberikan kepada golongan veteran.

Katanya, walaupun jumlah sumbangan itu mungkin dilihat sederhana, ia memberi ruang kepada persatuan untuk terus bergerak membantu veteran yang memerlukan, terutama dalam urusan kebajikan dan ziarah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post MPAG SENTIASA DI HATI ORANG AYER LIMAU
Next post KERETAPI SARONG MELAKA SASAR LEBIH 3,000 PESERTA