
SETIAP KAMPUNG ADA CERITA, MESRA BAWA SUARA RAKYAT
AYER LIMAU 8 September – Setiap kampung menjadi titik rujukan Kerajaan Negeri dalam mengenal pasti keperluan akar umbi menerusi wakil rakyat sebagai ‘mata dan telinga’.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu menjadi antara asas pelaksanaan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) bagi memastikan setiap keperluan yang dikenal pasti di peringkat kampung disalurkan secara terus kepada Kerajaan Negeri untuk tindakan sewajarnya.
Katanya, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bukan sekadar kunjungan ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya menjadi platform untuk beliau melihat sendiri keadaan rakyat dan menilai bentuk bantuan yang benar-benar diperlukan.
“Jadi kita tengok kalau ada keperluan untuk membantu, kita akan terus bantu. Kalau rumah rosak kita akan baik pulih, kalau ada rumah yang perlu dibina, kita bina baharu dan kalau perlu bantuan makanan, kita akan berikan.
“Dalam jelajah ini saya akan ikut apa yang dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) masing-masing kerana beliau lebih tahu masalah di kawasannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas selepas Ziarah Kasih Pesakit Terlantar serta Penyampaian Sumbangan Insentif Rakyat dan Sumbangan Kepada Sekolah oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Ayer Limau di Dewan Terbuka Taman Tamby Chik Karim, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan dan kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, jelajah berkenaan kini memasuki DUN ke-27 daripada keseluruhan 28 DUN di Melaka, dengan DUN Tanjung Bidara dijadualkan menjadi lokasi terakhir.
Beliau berkata, pelaksanaan secara berperingkat itu membolehkan Kerajaan Negeri mendekati rakyat di setiap kawasan dan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai isu serta keperluan setempat.
“Kita masuk setiap kampung, kita gunakan wakil rakyat, wakil rakyat gunakan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk menjadi mata dan telinga kepada kerajaan negeri dan sampaikan kepada saya,” katanya.
Terdahulu, Ab Rauf menyampaikan sumbangan Insentif Belanja Rakyat bernilai RM10,000 serta sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB berupa televisyen pintar kepada 10 sekolah di DUN Ayer Limau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


