
MELAKA RUMAHKU: RM8 JUTA BANTU GOLONGAN PERLUKAN RUMAH SELESA
AYER LIMAU 9 September – Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM8 juta sepanjang tahun ini bagi pelaksanaan Program Melaka Rumahku (PMR) oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dalam usaha membantu golongan yang memerlukan mendapatkan kediaman lebih selesa dan selamat.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, peruntukan itu meliputi kerja bina baharu dan baik pulih kediaman penerima yang layak.
Katanya, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau sahaja sebanyak RM300,000 diperuntukan bagi pelaksanaaan PMR bina baharu dan baik pulih sepanjang tahun.
“Kos baik pulih setiap rumah adalah berbeza-beza antara RM15,000 hingga RM20,000 ia berdasarkan keadaan rumah dan skop kerja yang diperlukan,” katanya ketika ditemui pada Program Melaka Rumahku pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Ayer Limau di Ramuan China Kechil, di sini, semalam.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut menyempurnakan gimik penyerahan projek bina baharu dan baik pulih kepada penerima bantuan yang layak.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais berkata, pendekatan turun padang seperti Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat itu turut menjadi elemen penting dalam memastikan rumah yang benar-benar memerlukan perhatian dikenal pasti dan bantuan dapat disalurkan.
“Program Melaka Rumahku ini diharap terus memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dan mereka yang tinggal di kediaman uzur supaya dapat menikmati persekitaran kediaman lebih baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


