
TOK RAUF BAWA KHABAR GEMBIRA, RUMAH UZUR ROHAIDAH BAKAL DIBAIK PULIH
AYER LIMAU 9 September – Kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh membawa khabar gembira buat Rohidah Mohd Yusof, 59, ketika ini menghuni rumah uzur akibat serangan anai-anai dan kerosakan pada bahagian bumbung.
Rohidah berkata, dia berasa amat terharu apabila Ketua Menteri memaklumkan sendiri kepadanya bahawa rumah yang didiami akan dibaik pulih menerusi Program Melaka Rumahku (PMR) dengan kos RM15,000.
Katanya, perkongsian daripada Ketua Menteri juga amat melagakan dirinya yang sekian lama resah memikirkan usaha menggantikan kayu reput dimakan anai-anai dan bumbung yang bocor.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, termasuk saya yang berdepan kekangan kewangan untuk membaiki kediaman sendiri.
“Kehadiran Ketua Menteri memang memberikan semangat dan saya memang rasa sangat terharu dengan keprihatinan beliau terhadap rakyat yang memerlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada selepas menerima kunjungan Ketua Menteri sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Kampung Ramuan China Kechil, di sini, Semalam.
Menurutnya, dia bersama suami pernah merancang untuk membaik pulih kediaman itu, namun anggaran kos diperlukan iaitu sekitar RM15,000 membantutkan usaha mereka.
“Paling utama adalah menggantikan kayu reput dan zink baharu, alhamdulillah kami mendapat rezeki yang tidak disangka.
Menerusi bantuan ini, saya rasa lebih lega kerana rumah akan menjadi selesa dan selamat kerana kami juga menjaga cucu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

