
TERHARU TOK RAUF KONGSI BERITA GEMBIRA BUMBUNG RUMAH PUSAKA BAKAL DIGANTI
AYER LIMAU 9 September – Masalah bumbung rumah pusaka didiami Mualif Mohd Noor yang bocor sejak sekian lama mendapat perhatian dan akan ditukar baharu.
Mualif, 34, berkata, dia amat terharu apabila diberitahu akan menerima bantuan baik pulih rumah menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
Katanya, memandangkan usia rumah pusaka tinggalan orang tuanya itu sudah lebih 40 tahun keadaan kediaman berkenaan sudah semakin uzur terutama pada bahagian bumbung.
“Walaupun keadaan rumah agak usang tetapi masalah paling ketara adalah bumbung yang bocor. Boleh katakan semua bumbung perlu diganti baharu. Walaupun hanya saya seorang yang menghuni rumah ini tetapi agak tidak selesa apabila melihat keadaan bumbung rumah.
“Saya sangat terharu apabila permohonan bantuan ini diluluskan kerana jika mengharapkan saya memang kurang mampu daripada segi kewangan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mualif berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Baik Pulih Dan Bina Baharu Rumah PPRS sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Kampung Ayer Limau, semalam.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan dan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Menurutnya, rumah berkenaan bukan sahaja menjadi tempatnya berteduh tetapi menyimpan nilai sentimental kerana merupakan peninggalan pusaka keluarga.
“Saya difahamkan kerja-kerja baik pulih akan dilakukan dalam tempoh terdekat, wakil kontraktor juga sudah datang ke rumah. Apabila bumbung sudah dibaiki nanti, bukan saya sahaja yang dapat menghuni dengan lebih selesa tetapi adik-beradik lain juga apabila mereka pulang ke kampung.
“Pastinya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kerana sudi menghulurkan bantuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

