RM7.9 JUTA BANGUNKAN EKOPELANCONGAN PAYA LEBAR

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER LIMAU 8 September – Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau bakal memiliki pemangkin ekonomi baharu menerusi Projek Pembangunan Ekopelancongan Paya Lebar bernilai RM7.9 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek berkenaan merupakan antara komitmen Kerajaan Negeri untuk membuka lembaran baharu pembangunan di Ayer Limau, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pelancongan kepada masyarakat setempat.

“Lebih bermakna lagi, kita membuka lembaran ekonomi baharu Ayer Limau dengan menggerakkan Projek Pembangunan Ekopelancongan Paya Lebar bernilai RM7.9 juta.

“Saya yakin ia mampu menjadi pemangkin baharu kepada aktiviti ekonomi dan pelancongan setempat,” katanya ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Ayer Limau di Jeti Paya Lebar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, pembangunan ekopelancongan itu bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan, malah berpotensi mewujudkan peluang pendapatan baharu kepada penduduk sekitar.

“Antaranya, nelayan dan penduduk boleh menjana pendapatan menerusi aktiviti membawa pengunjung untuk menaiki bot Eco Cruise Sungai Linggi ketika keadaan air surut.

“Jadi saya berharap satu kaedah baharu dapat dilakukan supaya perkhidmatan pelancongan yang disediakan ini akan terus menjadi tumpuan dan bukannya kawasan pelancongan bermusim,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

344
Kongsi :
Previous post WRUR AYER LIMAU: RM300,000 BAIK PULIH LAPAN KEDIAMAN UZUR, SEBUAH DIBINA BAHARU
Next post WARGA AYER LIMAU TERIMA INSENTIF BELANJA RAKYAT, BERAS PERCUMA