
WARGA AYER LIMAU TERIMA INSENTIF BELANJA RAKYAT, BERAS PERCUMA
AYER LIMAU 8 September – Seramai 865 warga Ayer Limau termasuk 85 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima Insentif Belanja Rakyat bernilai keseluruhan RM86,500 menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, hari ini.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan aspek kebajikan masyarakat terus diberi perhatian.
“Kita menyantuni kebajikan 865 warga Ayer Limau, termasuk 85 veteran Angkatan Tentera Malaysia menerusi Insentif Belanja Rakyat, di mana setiap penerima mendapat baucar bernilai RM100 setiap seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Jeti Paya Lebar, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta lain-lain kenamaan.
Ketua Menteri berkata, pada program itu juga, sebanyak 1,500 kampit beras turut diagihkan secara percuma kepada warga Ayer Limau bagi membantu meringankan perbelanjaan harian keluarga.
“Pada masa sama, kita menyantuni 120 nelayan dengan bantuan khas berjumlah RM12,000, selain membantu 27 peniaga kecil melalui sumbangan keseluruhan RM13,500.
“Tidak ketinggalan, 12 pengusaha bengkel di Ayer Limau turut menerima bantuan peralatan dan sokongan perniagaan berjumlah RM30,000,” katanya.
KETUA Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bergambar bersama Ahli
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


