RM1.06 JUTA BANTU 42 KELUARGA AYER LIMAU NIKMATI KEDIAMAN LEBIH SELESA

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER LIMAU 8 September – Sebanyak RM1.06 juta diperuntukkan bagi membantu 42 keluarga di Ayer Limau menerusi kerja baik pulih dan pembinaan rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) serta Program Melaka Rumahku.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi PPRS, sebanyak 30 unit rumah akan dibaik pulih bernilai RM600,000, manakala tiga rumah baharu dibina membabitkan peruntukan RM237,000.

“Ini menjadikan keseluruhan peruntukan Program Perumahan Rakyat Sejahtera di DUN Ayer Limau bagi tahun 2026 berjumlah RM837,000, sekali gus merekodkan yang tertinggi di negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Jeti Paya Lebar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, menerusi Program Melaka Rumahku di bawah Lembaga Perumahan Melaka (LPM) sebanyak RM230,000 lagi diperuntukkan bagi membaik pulih lapan buah rumah serta membina sebuah rumah baharu.

Jelas beliau, usaha berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat yang memerlukan dapat menikmati kediaman lebih selesa dan selamat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

295
Kongsi :
Previous post ORANG AYER LIMAU BERTUAH DAPAT BUAH TANGAN DARIPADA TOK RAUF
Next post WRUR SUDAH JELAJAH 27 DUN, BERAKHIR DI TANJUNG BIDARA