
ORANG AYER LIMAU BERTUAH DAPAT BUAH TANGAN DARIPADA TOK RAUF
AYER LIMAU 8 September – Seramai 865 warga Ayer Limau menerima Insentif Belanja Rakyat berjumlah RM86,500 menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, setiap penerima menerima baucar bernilai RM100 sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan beban perbelanjaan harian rakyat.
Pada masa sama, ujar beliau, seramai 1,500 penduduk yang hadir pada program berkenaan turut menerima beras percuma yang disediakan khas menerusi inisiatif siri jelajah berkenaan.
“Ini beras percuma daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh khas untuk rakyat, di mana ia merupakan lambang kasih sayang kepada warga Ayer Limau,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Ayer Limau di Jeti Paya Lebar, di sini, hari ini.
Menurut Hameed, bantuan kebajikan, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Ayer Limau turut memberi perhatian kepada pengukuhan ekonomi komuniti setempat apabila 15 pengusaha bengkel motosikal menerima sumbangan RM2,000 setiap seorang bagi pembelian peralatan, membabitkan keseluruhan RM30,000.
Katanya, bantuan berkenaan diharap dapat membantu pengusaha bengkel meningkatkan kelengkapan perniagaan sekali gus membolehkan mereka menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat setempat.
“Dalam aspek pendidikan pula, sebanyak 10 sekolah di DUN Ayer Limau masing-masing menerima dua unit Smart TV, membabitkan keseluruhan 20 unit dengan nilai hampir RM50,000,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


